Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH garis tiga faktor tawan semula Kedah dalam PRN
Diterbitkan:  Jan 1, 2023 12:50 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

PH Kedah menyuarakan keyakinan untuk menawan kembali Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini, berdasarkan situasi politik semasa.

Pengarah Komunikasi dan Penerangan PH Kedah Dr Ismail Salleh berkata pihaknya sedar tugas berat berdepan dengan "tsunami PN" sejak PRU15 namun PH telah mengatur pelbagai strategi dan sangat yakin keadaan telah mula berubah.

Katanya, keyakinan itu berlandaskan kepada tiga faktor utama iaitu "tsunami PN" bersifat sementara, kecemerlangan pentadbiran kerajaan persekutuan dan kerjasama politik antara PH dan Umno.

"Tsunami PN dalam PRU15 baru-baru ini bersifat sementara kerana gelombang itu wujud atas tiupan sentimen bangsa dan agama. Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini hanyalah untuk meraih laba politik dan tidak memberi apa-apa keuntungan dalam usaha pembinaan negara.

"Faktor kedua ialah kecemerlangan pentadbiran kerajaan perpaduan memerintah walaupun baru hanya sebulan mengambil alih kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata Anwar Ibrahim telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini, serta bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kedudukan negara.

"Pengiktirafan yang mencurah-curah datang dari pimpinan seluruh dunia dengan komitmen untuk membantu melabur dalam negara akan menyegerakan pertumbuhan ekonomi yang seterusnya akan memakmur dan mensejahterakan kehidupan rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada PRU15 lalu PH Kedah merekodkan pencapaian buruk selepas hanya mempertahankan satu kerusi Parlimen, manakala 14 lagi kerusi dimenangi PN.

Di Perlis, Terengganu dan Kelantan pula, PN memenangi semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sementara itu Ismail berkata faktor ketiga adalah kerjasama politik antara PH dan BN selepas kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

Menurutnya perbincangan tentang kerjasama dua gabungan itu di semua peringkat sudah bermula.

"Ketiga-tiga faktor utama ini akan meredakan momentum tsunami PN dan akan memberi kelebihan kepada gabungan perpaduan PH dan BN seterusnya akan memberi kemenangan dalam PRN yang akan datang," jelasnya.

Lihat Komen
ADS