Kerajaan Perlis belum membincangkan sebarang langkah untuk menutup premis judi dan loteri di negeri itu, kata Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli.

Mohd Shukri berkata kerajaan negeri perlu meneliti daripada sudut perundangan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan berkenaan.

"Namun, Insya Allah kita akan tengok dari segi perundangan terlebih dahulu termasuk juga tempoh lesen premis perjudian ini sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.

"Apa pun di Perlis ini, kita tak punya banyak premis perjudian kerana saya difahamkan hanya terdapat sekitar tiga sahaja premis perjudian di kawasan Kangar dan Kuala Perlis," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Kedah semalam menjadi negeri ketiga dikuasai PAS yang melarang kedai judi beroperasi di negeri itu selepas Terenganu dan Kelantan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, tiada sebarang premis atau kedai menjual minuman beralkohol dibenarkan beroperasi di negeri itu.

"Jika kita lihat, setakat ini tiada kedai menjual minuman arak beroperasi di negeri ini kecuali kedai ubat-ubatan tradisional yang didapati ada menjual bahan alkohol untuk perubatan.

"Malah, kedai serbaneka 24 jam di negeri ini juga tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol.

"Selain itu, kita memang memantau operasi kedai makanan yang menjual alkohol kepada orang ramai secara terbuka kerana kita tidak mahu perbuatan mereka yang meminum arak ini mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang lain lebih-lebih lagi apabila mereka memandu," katanya.