Annuar Musa mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Razlan Rafii atas dakwaan memfitnahnya dalam isu penjualan Menara Kuala Lumpur.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu juga mengarahkan tindakan sama terhadap bekas aktivis mahasiswa Adrian Lim Chee En dan bekas wartawan K Pragalath Kumar.

Katanya dia tiada pilihan lain susulan pelbagai kenyataan “mengelirukan” sejak tercetus polemik berhubung Menara Kuala Lumpur “yang kononnya dijual senyap-senyap” oleh Telekom Malaysia (TM).

“Lebih buruk lagi terdapat beberapa posting yang tanpa segan silu membuat fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk diri saya sendiri,” katanya.

Mohd Razlan Rafii

Pada 30 Disember lalu, pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), Hydroshoppe Sdn Bhd, juga berkata tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau fitnah.

Hydroshoppe menegaskan semua urus niaga berkaitan MKLSB dilakukan mengikut undang-undang serta dan melalui usaha-usaha wajar.

Menulis di media sosial, Annuar juga berkata pihaknya juga sedang cuba mengenal pasti pihak yang membuat dakwaan di media sosial tanpa menggunakan identiti sebenar.

“Setiap perkara berbangkit, terutama yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib. 

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya.

Minggu lalu, langkah TM menjual saham MKLSB–anak syarikat yang amat menguntungkan–dibangkitkan di media sosial, antaranya kerana pembelinya kurang dikenali.

TM menjelaskan mereka mahu menumpukan kepada perkhidmatan telekomunikasi sebagai perniagaan teras mereka.

Annuar sebagai menteri bertanggungjawab sebelum ini berkata dia tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.