Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa pegawai polis yang didakwa merogol remaja digantung tugas serta merta sehingga satu siasatan bebas selesai dijalankan.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata dakwaan itu adalah sesuatu yang serius kerana polis sepatutnya menjadi pelindung kepada masyarakat.

"Suaram meminta agar satu siasatan terhadap inspektor polis itu dilaksanakan secara telus dan terbuka. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus sentiasa kemas kini perkembangan siasatan serta mengumumkan tindakan susulan yang diambil. Perkara ini tidak boleh hanya tertakluk kepada tindakan tatatertib saja tetapi inspektor yang didakwa terlibat dalam kes rogol ini harus dituduh di mahkamah.

"Suaram juga mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) PDRM ketika mengendalikan kes berkaitan dengan rogol dan gangguan seksual. Memandangkan Akta Antigangguan Seksual telah diwartakan, PDRM harus meneliti semula dan memperhalusi SOP yang lebih sensitif kepada gender, malah memberi latihan profesional kepada pegawai-pegawai penyiasat berkenaan.

"Suaram mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan oleh pegawai polis. Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan seorang inspektor polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kes rogol membabitkan mangsa berusia 16 tahun telah ditahan atas dakwaan merogol mangsa itu semasa melakukan soal siasat.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai mengesahkan laporan dan penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut memetik siasatan yang sedang berjalan.

Gadis itu membuat laporan polis pada 31 Dis terhadap pegawai penyiasat dari sebuah balai polis daerah dekat Alor Setar, Kedah.

Terdahulu, di balai yang sama juga dia pergi untuk merakam kenyataannya berhubung dakwaan asal dirogol bapa tirinya.

Dalam pada itu Suaram berkata, kes rogol itu adalah antara kes yang memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil.

"Namun dalam konteks Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada, ia tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan yang setimpalnya.

"Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC.

Katanya, Suaram menyeru agar kerajaan baru mengadakan satu mesyuarat libat urus bersama masyakat sivil untuk mengkaji semula akta IPCC yang sedia ada.

Tambahnya lagi, Suaram memandang serius terhadap salah laku inspektor polis itu dan mahu mangsa mendapat keadilan sewajarnya.