Jawatankuasa pilihan Parlimen bincang rayuan Ramli
Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai integriti akan bermesyuarat esok untuk menimbang rayuan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohd Ramli Manan yang mahu pertemuan dengan jawatankuasa tersebut diteruskan.
Jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai integriti akan bermesyuarat esok untuk menimbang rayuan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohd Ramli Manan yang mahu pertemuan dengan jawatankuasa tersebut diteruskan.
"Kita telah menerima surat daripada peguam Ramli meminta supaya pertemuan itu diteruskan dengan alasan isu itu tidak subjudis terhadap kes samannya," kata anggota jawatankuasa tersebut, Lim Kit Siang.
"Saya telah meminta jawatankuasa tersebut menimbang semula perkara itu esok," katanya ketika ditemui hari ini.
Lim berkata isu 'Projek IC' Sabah, di mana kerajaan didakwa memberi kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin untuk mendapatkan undi, juga akan dibincangkan esok.
Minggu lalu, jawatankuasa itu membatalkan hasratnya bagi kali kedua untuk bertemu dengan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, berhubung laporan Ramli terhadapnya.
Fail saman
Kedua-dua pertemuan itu dibatalkan kerana wujud kemungkinan ia subjudis memandangkan Ramli telah memfailkan saman pada 7 Mac lalu terhadap kerajaan dan beberapa pihak lain, menuntut tunggakan pencennya dan gantirugi lain.
Bagaimanapun, peguam Ramli menghantar surat kepada pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Bernard Dompok minggu lalu, menyatakan pertemuan itu tidak menyentuh perkara-perkara dalam saman tersebut.
Sebelum ini, jawatankuasa berkenaan berkata, pertemuan itu mungkin prejudis kepada perbicaraan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, yang disiasat oleh Ramli sewaktu menjadi Pengarah BPR Sabah.
Zulkipli telah menafikan dakwaan terhadapnya serta menegaskan bahawa beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR selepas latarbelakangnya disiasat dan dia didapati bersih. Berita asal

