Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap merangkumi 4,263 perjawatan pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi bagi tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Jan menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru KKM di Putrajaya hari ini, Zaliha berkata pengarah kesihatan negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja.

Sebagai contoh katanya menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout (kelecuhan) pegawai.

Dia turut mencadangkan agar pengarah kesihatan negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di jabatan kecemasan.

“Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan, dan bukannya di jabatan kecemasan,” katanya.

Zaliha menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di jabatan kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak dan akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

Bagi tahun ini, katanya, KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi. Antaranya Hospital Pendang di Kedah dan Hospital Kemaman di Terengganu.

“Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

“Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Dis lepas berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya.

- Bernama