Indeks jenayah di Pulau Pinang merekodkan sebanyak 6,120 kes sepanjang tahun lepas iaitu penurunan 43.4 peratus atau 2,657 kes berbanding tempoh sama pada 2021.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penurunan itu adalah hasil pelbagai usaha yang dijalankan pihaknya terutama dengan memastikan kehadiran pihak polis di lokasi tumpuan, dan pemantauan berterusan kawasan kerap berlaku jenayah.

"Secara keseluruhannya kejayaan yang dikecapi dari segi penurunan kadar jenayah indeks tahun lepas disumbangkan oleh hasil perancangan teliti pada 2021 iaitu dengan melakukan pelbagai pendekatan berbeza dalam menanganinya," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan PDRM Pulau Pinang di Pasukan Polis Marin Batu Uban, George Town hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata bagi kategori jenayah kekerasan, jumlah nilai ambang ialah 1,488 kes berbanding indeks jenayah iaitu 946 kes menyaksikan penurunan 542 kes atau 36.4 peratus.

Katanya nilai ambang jenayah harta benda pula ialah 4,632 kes berbanding indeks jenayah 2,517 kes, penurunan 2,115 kes atau 45.7 peratus.

Mohd Shuhaily berkata 8,641 kertas siasatan dibuka dan 4,290 (49.65 peratus) dibawa ke mahkamah sepanjang tahun lepas berbanding 8,695 dibuka dan 3,812 (43.84 peratus) dirujuk ke mahkamah.

Katanya ia adalah peningkatan pertuduhan sebanyak 478 kes (12.5 peratus) bagi tempoh berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohd Shuhaily Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15.56 juta, manakala 13,110 orang ditahan sepanjang tahun lepas.

"Daripada jumlah tersebut 2,494 orang ditahan di bawah kategori bekalan, 7,463 orang ditahan di bawah kategori pemilikan dan 3,153 orang di bawah kategori urin.

"JSJN Pulau Pinang juga diiktiraf berada di kedudukan kedua terbanyak di Malaysia dalam perlucutan harta iaitu RM14.78 juta,'' katanya.

Dalam pada itu, menurut Mohd Shuhaily Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang merekodkan 2,546 kes membabitkan jumlah kerugian RM122.17 juta pada tahun lepas berbanding 3,209 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian RM538.20 juta pada 2021.

Dia berkata kes jenayah komersial menunjukkan penurunan bagi kes yang disiasat iaitu 20.7 peratus dan jumlah kerugian juga menurun 77.3 peratus.

''Sepanjang 2022 juga, JSJK menjalankan 1,715 operasi dengan jumlah tangkapan 1,757 orang dan hasil daripada operasi tersebut mencatatkan penyelesaian kes 40.1 peratus,'' katanya.

- Bernama