Azalina cadang wujudkan pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa untuk menangani isu berkaitan kanak-kanak, antaranya mereka yang perlu memberi keterangan sebagai saksi dalam kes jenayah.
Menurut Azalina, pada masa ini pesuruhjaya kanak-kanak terletak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) namun ada keperluan untuk ia dijadikan sebagai jawatan yang khusus.
"Kita melihat kepada rancangan mewujudkan pesuruhjaya kanak-kanak yang bebas," katanya ketika ditemui pemberita di Pengerang hari ini.
"Contohnya jenayah seksual terhadap kanak-kanak, ada isu extraction of evidence (pengumpulan bukti). Bila tiba masa untuk beri keterangan di mahkamah, mereka sudah besar, takut lupa, atau mungkin mereka rasa malu. Selain itu, apabila kanak-kanak jadi mangsa atau saksi...mungkin tekanan kepada keluarga untuk tarik balik kes.
"Sebab itu, jika kita gunakan rogol sebagai contoh, kit rogol boleh digunakan sebagai bukti ketika insiden. Protokolnya, jika kes libatkan kanak-kanak, mesti ada pegawai polis wanita (yang menyiasat kes)," katanya.
Azalina merujuk kepada kes di Yan, Kedah baru-baru ini, apabila seorang polis dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa merogol remaja perempuan di balai polis pada bulan lalu.
Untuk rekod, berdasarkan data Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, setakat September 2021, terdapat 4,031 mangsa jenayah seksual dan 2,234 daripadanya adalah kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Azalina berkata ada kala keluarga tidak begitu fasih dengan prosedur siasatan atau hak mereka.
Dia berkata cadangan pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak sepenuh masa telah dibawa ke kabinet dan dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya lagi, dia ingin melihat pewujudan jawatan itu berserta badan pemantau yang akan membolehkan isu berkaitan kanak-kanak, termasuk kesihatan, keselamatan dan pendidikan, dilihat secara mendalam.
"Kanak-kanak perlu diberitahu hak mereka dan kita mesti beri maklumat yang betul.
"Ini bukan sekadar isu undang-undang. Ia boleh jadi program kesedaran yang akan saya bincangkan dengan menteri pendidikan," katanya lalgi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/463ed59d536f1b96d863af1cc67fd231.jpg)
