Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah pimpinan Hajiji

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia mahu kerajaan negeri Sabah kukuh di bawah pimpinan ketua menteri sekarang, Hajiji Noor.

“Kita mahu keadaan Sabah itu kukuh di bawah pimpinan YB ketua menteri Hajiji.

“Kemudian kita beri ruang untuk ketua menteri berbincang dan mencari satu formula yang baik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji selama kira-kira 40 minit di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Hajiji kemudian mengadakan pertemuan dengan Adun yang menyokongnya selepas menghantar Anwar dan Zahid pulang di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Bagaimanapun Hajiji enggan bercakap kepada pihak media.

Antara yang dilihat berkumpul di Sri Gaya malam ini ialah Adun PH Sabah, bersama lima Adun Umno Sabah yang tidak bersetuju dengan keputusan Pengerusi Umno negeri, Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji.

Turut kelihatan ialah Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahmad Zahid sebelum itu dilapor bertemu pimpinan Umno Sabah di ibu pejabat Umno negeri.

Terdahulu, Anwar tiba di Kota Kinabalu selepas mengadakan lawatan rasmi selama dua hari di Jakarta, Indonesia.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 9.40 malam.

Antara yang dilihat menunggu ketibaan Anwar termasuk pemimpin Warisan, Azis Jamman dan Loretto Padua yang merupakan wakil rakyat dari blok pembangkang.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan, berkata Hajiji masih mendapat sokongan 44 Adun berbanding 40 sokongan Adun yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah di DUN.

Lihat Komen
ADS