Persediaan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus. kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dia yang juga adalah timbalan pengerusi PN berkata perbincangan telah dijalankan sejak pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

"Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

“Boleh dikatakan 80 peratus telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN," katanya yang dipetik oleh Bernama.

Enam kerajaan negeri akan melihat tempoh mereka tamat menjelang Julai tahun ini, adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik Hadi sebagai berkata dia yakin gabungan itu mampu menang besar dalam keenam-enam pilihan raya negeri berkenaan berdasarkan prestasi mereka pada PRU15.

Kecuali satu kerusi parlimen di Kedah, PN menyapu bersih di Kelantan dan  Terengganu pada PRU15 tahun lalu, yang menurut Hadi jelas menunjukkan kekuatan dan populariti mereka di kalangan rakyat.

"Gelombang PRU15 baru-baru ini dilihat memberi sokongan kuat (terhadap PN) apabila kita menyapu bersih negeri yang kita perintah di Kelantan, Terengganu manakala Kedah cuma satu kerusi saja kita terlepas.

"(Ini) menandakan kita ada kekuatan dan hasil 'post mortem' yang dibuat kita dapati, undi di Dewan Undangan Negeri kita menang secara keseluruhan," katanya.

Hadi  turut menyatakan keyakinan, gelombang kejayaan itu dapat dikekalkan dalam situasi pentadbiran PH yang disifatkannya sebagai tidak menentu ketika ini.

"Hendak kata (kerajaan) perpaduan bukan perpaduan. Kalau perpaduan mestilah kerajaan tiada pembangkang atau parti pembangkang terlalu kecil, tiada peranan baru (dipanggil) Kerajaan Perpaduan. Kalau separuh pembangkang, separuh kerajaan bukan perpaduan.

"Istilah pun tidak betul. Kemudian masih banyak masalah belum selesai...kenyataan yang tidak dilaksanakan," katanya.