Satu lagi kumpulan warga asing berjaya menyelinap ke puncak bangunan pencakar langit Merdeka 118.
Kali ini, pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, memuat naik video ‘pencerobohan’ mereka yang dikatakan dilakukan pada 30 Disember lalu.
Video berdurasi 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan tersebut, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang - muka dua daripada mereka dikaburkan menyelinap masuk ke tapak bangunan dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.
Video itu juga memuatkan adegan mereka "meraikan" kejayaan mereka selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.
Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan "memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran."
“Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.

"Ini berakhir dengan jayanya dan ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rekaman tersebut," kata kumpulan berkenaan, sambil menambah bahawa tindakan mereka adalah "luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta", dan bukan untuk menggalakkan sesiapa meniru semula tindakan yang dipaparkan.
Sebelum ini, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus menjadi tajuk utama susulan kejayaan mereka menceroboh dan menawan bangunan kedua tertinggi di dunia itu, bulan lalu.

Nikolau juga telah mendedahkan di Twitter tentang bagaimana dia menyamar sebagai pekerja binaan yang bertudung untuk menyelinap masuk ke dalam bangunan itu, sebelum memanjat ke atas setelah pekerja pulang. Cara Beerkus sampai ke puncak tidak disebutkan.
Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengesahkan kesahihan video pasangan itu.
