KKM jangka tiada lonjakan kes Covid-19 semasa musim perayaan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tidak berlaku lonjakan kes baru Covid-19 semasa musim perayaan ini, kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Noor Hisham ia berdasarkan pengalaman perayaan lalu setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022 iaitu sambutan Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas, serta kepulangan jemaah haji dan umrah.
Malah katanya tiada lonjakan kes dikesan ketika PRU ke-15 dijalankan.
"Pengalaman kita pada 1 April lepas, pada permulaan KKM tidak yakin kes dapat dikawal dengan baik tapi ternyata tempoh masa lebih lapan bulan menunjukkan kes dapat dikawal dengan baik walaupun dah buka semua sempadan, semua sektor dan membenarkan semua perayaan dan perhimpunan," katanya dalam sesi libat urus Menteri Kesihatan Bersama Media di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kes baru Covid-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lalu berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.
Dia berkata vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitan Covid-19.
Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantau perkembangan kes dan varian baru di negara lain termasuk kes yang berlaku pada pengembara yang memasuki Malaysia.
"KKM sekarang memantau rapi varian baru. Setiap kali ada Omicron subvarian bermutasi, kita lihat walau kes dijangka akan melonjak dengan setiap varian BA1, BA2, BA4 dan BA5, tetapi perkara ni tak berlaku.
"Ini memberi keyakinan kepada kita kalau Omicron, insya-Allah dengan vaksin yang ada, ketahanan dan perlindungan kepada setiap individu masih baik," katanya.
Dia menambah setakat ini tiada varian baru Covid-19 dikesan dalam negara termasuk subvarian Omicron, XBB.1.5 atau "Kraken" yang kini menjadi varian paling dominan di AS.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 ialah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1.
Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 dengan nama Kraken yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.
WHO melabelkan strain itu sebagai 'subvarian paling mudah berjangkit yang pernah dikesan', dengan XBB.1.5 menjadi punca sebahagian besar jangkitan di AS.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/82162d02cdd9e3735749e602c0c9098e.jpg)
