Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid mengakui dia berada di London ketika spekulasi terdapat percaturan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bertebaran di dalam talian.

Bagaimanapun, Mahdzir menegaskan bahawa dia langsung tidak terlibat dengan usaha yang digelar sebagai 'Langkah London' itu.

Malah secara bergurau bekas menteri itu berkata, dia memang selalu mengatur langkah dari semasa ke semasa.

"Saya kira, ke mana saja saya pergi pasti ada saja 'langkah' cumanya saya fikir jauhlah nak melangkah pergi sampai ke London," katanya.

Menjelaskan keberadaannya di London sebelum ini, Mahdir berkata: "Saya akui memang saya pergi ke London, tapi saya tak berjumpa pun dengan orang-orang yang disebut dalam Langkah London itu," katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam pertemuan bersama media di sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Mahdzir - yang turut pernah menjadi menteri besar Kedah pada Dis 2005 hingga 8 Mac 2008 - diminta memberikan komentar berhubung gerakan yang didakwa diatur untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

Ia digelar sebagai Langkah London kerana dikatakan perbincangan mengenainya dibuat di kota raya tersebut. Selain Umno, ia juga didakwa membabitkan pemimpin kanan PN.

Belum ada pertemuan, perbincangan

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada 4 Jan lalu sudah menafikan dia mempunyai kaitan dengan perkara itu dan menyifatkannya sebagai “fitnah yang berniat jahat”.

Ketika desas-desus mengenainya belum reda, ia disemarakkan pula dengan kenyataan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang tidak menolak kemungkinan PN kembali berkuasa selepas menjalin pakatan baru.

Mahdzir berkata mana mungkin dia terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan perpaduan sekarang ketika dia sendiri merupakan antara pemimpin Umno yang menyokong kepemimpinan Anwar.

"Sebagai salah seorang pemimpin senior dalam Umno, saya pun telah bersetuju dengan parti untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan saya berada dalam mesyuarat semasa keputusan untuk tubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH dibuat.

"Jadi, kenapa pula tiba-tiba ada sekumpulan orang yang cuba mengaitkan nama saya dengan mengatakan kita berusaha untuk memberi helah bagi mencari jalan menjatuhkan kerajaan perpaduan?

"Jadi, pada saya, saya nafikan perkara itu," tegasnya.

Gambar fail

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata Umno dan parti-parti dalam kerajaan perpaduan sehingga hari ini belum berkesempatan mengadakan pertemuan bagi merencana pelbagai agenda.

Antara isu yang dilihat wajar ditangani ketika ini ialah membabitkan pentadbiran kerajaan, selain sebagai persiapan menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kami belum lagi mengadakan mesyuarat dengan parti dalam PH, sebab yang ada pertemuan sekarang adalah di peringkat kerajaan perpaduan sahaja.

"Peringkat parti belum diadakan (mesyuarat).

"Contohnya (isu yang perlu dibincangkan) kalau enam negeri adakan PRN, kena teliti mana-mana kerusi yang banyak pengundi Cina, India dan kawasan Melayu.

"Kami belum putuskan untuk berhadapan dalam PRN dan berdasarkan kepada undi PRU lalu, jumlah undi yang dapat di setiap kawasan itu kami akan perincikan.

"Berdasarkan kepada apa yang kami kenal pasti itu, besar juga undi yang pergi kepada PN dan PH," katanya.

Oleh demikian, Mahdzir berkata dia yakin pertemuan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat ini.

"Banyak kerja kena buat, kena kenal pasti kawasan (masing-masing) dan tengok calon. Jadi, saya ingat (kita akan adakan pertemuan) secepat mungkin," katanya.