Lebih 3,000 perwakilan Umno hari ini sebulat suara menerima ketetapan parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Johari Ghani berkata perkara itu dizahirkan semua perwakilan dalam sesi taklimat khas presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, petang tadi.

"Semua perwakilan terima sebulat suara kerajaan perpaduan," katanya selepas menghadiri taklimat khas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata Ahmad Zahid akan menyampaikan taklimat bagi memberi pemahaman dan makluman kepada perwakilan yang hadir mengenai kerajaan perpaduan dan alasan Umno-BN menyertainya.

Taklimat yang bermula sekitar 2.30 petang itu bagaimanapun diadakan secara tertutup.

Rahman Dahlan

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan yang ditemui berkata Ahmad Zahid telah memberikan kronologi persitiwa pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu.

"Beliau (Ahmad Zahid) juga mengajak ahli Umno supaya tak terlalu pesimistik dalam menghadapi cabaran politik di tahun mendatang ini, terutamanya dalam PRN yang bakal dihadapi dan bersifat optimistik.

"Dia juga menggariskan kekuatan BN dan PH akan membuahkan formula baru untuk negara," katanya.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir pula berkata presiden Umno telah memberikan penjelasan dengan baik berhubung apa yang berlaku kepada parti dan semua pihak menerimanya.

"Presiden buat penjelasan dengan baik sekali kepada ahli-ahli mengenai keadaan politik semasa, hala tuju dan perkara besar berkaitan dasar parti akan dijelaskan dalam ucapan dasar beliau pada Jumaat," katanya ringkas.

Ahmad Shabery Cheek

Sementara itu, Ahli MKT Umno Ahmad Shabery Cheek turut menyatakan perkara yang sama di mana semua perwakilan memberi reaksi yang baik kepada taklimat presiden.

"Saya rasa pada keseluruhannya (taklimat) mendapat reaksi yang baik, sambutan yang begitu mantap sekali daripada perwakilan yang hadir pada mesyuarat khas pada kali ini," katanya ringkas.

Sementara itu difahamkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob antara pimpinan tertinggi Umno yang tidak kelihatan pada sesi taklimat presiden petang tadi.

Perkongsian di grup Whatsapp media Ismail memaklumkan bahawa ahli parlimen Bera itu melawat anak saudaranya yang kritikal di Hospital Kuala Lumpur selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Difahamkan hanya dua naib presiden sahaja kelihatan hadir di dalam majlis pembukaan PAU2022 itu iaitu Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin.

Turut tidak kelihatan adalah Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Shabery ketika diminta mengulas ketidakhadiran pemimpin terbabit sekadar berkata: "Saya tak pasti tentang kenapa beliau tidak hadir tapi saya percaya beliau ada sebab-sebab tertentu."