Penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas adalah membuang masa dan dana awam, kata seorang pemimpin PSM.

Menurut timbalan pengerusi parti itu, S Arutchelvan, kerajaan sebaliknya harus memberi tumpuan untuk menangani isu-isu lain yang lebih penting dan mendesak.

“Agak membingungkan bahawa kabinet memutuskan demikian (RCI) sedangkan terdapat banyak lagi perkara yang mendesak. Jika rakyat tidak berpuas hati, mereka boleh memfailkan saman fitnah, yang telah dimulakan oleh banyak pihak.

"Jika RCI mahu membicarakan mengenai kelakuan seorang peguam negara, maka semua peguam negara sebelum ini juga pernah membuat keputusan," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said semalam bahawa kabinet bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan RCI selepas mengkaji cadangan yang dibuat oleh pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Thomas.

Azalina berkata,  RCI itu akan mempunyai skop yang lebih luas daripada saranan pasukan petugas khas.

Arutchelvan mempersoalkan tujuan RCI berkenaan dan jika ia mengenai reformasi, katanya, sudah ada kementerian untuk menanganinya.

 'Berhenti membazir wang kami'

"Jadi buat apa tubuh RCI ini? Jika hanya untuk beri (Presiden Umno Ahmad) Zahid (Hamidi) rasa gembira (feel good) sebelum perhimpunan agung Umno, saya fikir kerajaan ini adalah mengenai perpaduan dan terus bergerak ke hadapan.

"Jadi sila tadbir dan berhenti membazir wang kami," kata Arutchelvan.

Pasukan petugas khas untuk menyiasat memoir Thomas, bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' telah ditubuhkan pada Disember 2021 dan diketuai oleh bekas peguam besar Sarawak Fong Joo Chung.

Memoir Thomas merangkumi tugasnya sebagai peguam negara dari 2018 hingga 2020. Antara lain, dia membicarakan mengenai pelantikan hakim, dakwaan campur tangan oleh eksekutif dalam badan kehakiman, dan pertuduhan pendakwaan terpilih.

Pasukan petugas telah mengesyorkan supaya Thomas disiasat kerana menghasut dan melanggar undang-undang kerahsiaan kerajaan, dan juga mendakwa Thomas sendiri campur tangan dalam isu pelantikan kehakiman.

Ia juga membuat syor untuk pembaharuan institusi, seperti menjadikan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bebas daripada pengaruh perdana menteri - satu cadangan yang pernah diluahkan oleh Majlis Raja-raja Melayu pada November lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabr Yaakub menjelang pilihan raya umum ke-15, telah mencadangkan  BN supaya menggunakan laporan itu sebagai peluru politik.

Sementara itu, Thomas berusaha untuk membatalkan laporan itu, dengan alasan bahawa pasukan petugas itu adalah "badan haram".