Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan mengapa harga sayuran dan buah-buahan masing-masing meningkat 50 dan 60 peratus sedangkan pertumbuhan ekonomi dalam prestasi yang baik.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal memperjelaskan mengapa berlaku kenaikan harga tersebut ketika kerajaan telah memperkuatkan Ringgit Malaysia, meningkatkan rizab negara manakala indeks harga pengguna juga stabil.

Selain kenaikan harga sayuran dan buah-buahan, Wan Azizah berkata, kos pengangkutan juga telah meningkat 35 peratus manakala tariff elektrik meningkatkan 12 peratus.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membangkitkan perkara tersebut dalam soalannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam jawapannya, menteri berkenaan berkata, kementeriannya telah membuat analisa perbandingan harga setiap bulan di 60 tempat di seluruh negara bagi 100 barangan terpilih bagi bulan Januari lalu berbanding dengan Disember 2006.

Menurutnya, berasaskan kepada analisa dan perbandingan harga tersebut, kumpulan sayur kekacang mencatatkan peningkatan kenaikan harga purata tidak melebihi 27 peratus.

Sebagai contoh, katanya, kacang bendi mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 26.22 peratus, manakala lima jenis sayuran mencatatkan penurunan harga, antaranya timun turun 13.10 peratus, cili hijau 3.11 peratus dan bawang merah kecil (Thailand) 1.69 peratus.

Kos pengangkutan naik

Bagi buah-buahan pula, katanya, betik eksotik mencatakan kenaikan tertinggi, iaitu 4.9 peratus dan pisang berangan mencatatkan kenaikan terendah iaitu 1.01 peratus.

Mengenai kenaikan kos pengangkutan pula, menteri berkenaan berkata, ia ekoran kenaikan harga runcit bagi produk petroleum sebanyak 30 sen seliter pada 28 Februari 2006 lalu.

"Kenaikan ini telah memberi kesan kepada peningkatan dalam kos operasi bagi sektor pengangkutan dan kos pegangkutan ini terpaksa dinaikkan bagi menyerap margin kerugian dalam sektor yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, kajian impak kenaikan harga minyak terhadap industri makanan dan pengangkutan mendapati kos bahan api bagi sektor pengangkutan menyumbang hanya 8.8 peratus daripada jumlah kos pengeluaran keseluruhan.

"Bagaimanapun, jumlah penggunaan bahan api bagi keseluruhan perbelanjaan sektor pengangkutan dianggarkan kira-kira 10 peratus dan ianya berbeza mengikut jenis pengangkutan digunakan," tambahnya.

Kerajaan juga, kata menteri tersebut, telah mengumumkan kenaikan tariff baru elektrik sebanyak 12 peratus berkuatkuasa 1 Jun 2006 berikutan kenaikan harga minyak yang turut meningkatkan kos operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagaimanapun, katanya, kadar kenaikan tersebut adalah kurang daripada kadar 20 peratus seperti yang dicadangkan TNB.

"Bagaimanapun, kenaikan ini hanya melibatkan kategori penggunaan melebihi 200 kilowatt-jam elektrik sebulan," katanya.