Ahli tidak terkejut Anuar Shaari letak jawatan
Ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Permatang Pauh tidak terkejut dengan perletakan jawatan ketua bahagian berkenaan, Anuar Shaari Ahad lalu, kerana ramai ahli tidak puas hati dengan prestasi kerjanya, kata Timbalan Ketua bahagian yang baru, Che Mat Hashim.
Ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Permatang Pauh tidak terkejut dengan perletakan jawatan ketua bahagian berkenaan, Anuar Shaari Ahad lalu, kerana ramai ahli tidak puas hati dengan prestasi kerjanya, kata Timbalan Ketua bahagian yang baru, Che Mat Hashim.
Menurut Che Mat lagi, sejak menjadi ketua bahagian pada awal 2004, Anuar cuma hadir mesyuarat parti sebulan sekali tetapi terlalu kurang membabitkan diri dalam program anjuran bahagian berkenaan.
"Ada juga ahli yang tidak kenal Anuar kerana beliau kurang berjumpa dengan pemimpin peringkat bawahan.
"Berikutan itu ada sebahagian kecil ahli jawatankuasa PKR Permatang Pauh sendiri yang tidak puas hati dengan prestasi kerja Anuar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anuar, 38, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua bahagian Permatang Pauh serta keluar dari PKR ketika berucap di mesyuarat perwakilan bahagian itu Ahad lalu.
Beliau memberi alasan terlalu banyak 'politiking' dan mendakwa sesetengah pemimpinnya lebih gemar mengejar jawatan daripada mengutamakan kepentingan parti.
Che Mat berkata, sejam sebelum mesyuarat Permatang Pauh dimulakan, Anuar ada bertemu dengan beberapa ahli jawatankuasa bahagian itu dan menyatakan beliau tidak mahu mempertahankan jawatannya.
Ketua baru
Anuar, katanya, bagaimanapun tidak pula memberitahu beliau akan keluar dari PKR.
"Walaupun ada ahli yang tidak puas hati dengan beliau, kami tidak mempunyai rancangan untuk menjatuhkannya dari jawatan ketua bahagian Permatang Pauh.
"Jika Anuar mahu mempertahankan jawatan ketua bahagian, saya yakin beliau akan menang tanpa bertanding," katanya lagi.
Berikutan perletakan jawatan Anuar itu, bahagian berkenaan telah memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai ketua bahagian yang baru. Beliau menang tanpa bertanding.
Che Mat berkata, Anuar meletakkan jawatan mungkin kerana merasakan beban tanggungjawab untuk terus memimpin bahagian PKR bahagian Permatang Pauh.
Katanya, ini kerana sebelum itu, jawatankuasa bahagian berkenaan telah mengingatkan Anuar bahawa sebagai ketua bahagian, beliau mesti membuat kerja kuat untuk parti.
"Mungkin kerana Anuar tinggal di Selangor menyebabkan beliau sukar berulang-alik ke Permatang Pauh bagi menjalankan urusan parti," katanya.

