PAS Melaka memutuskan tidak akan membantu DAP dalam menghadapi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April depan.

Pesuruhjayanya, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, pejabat perhubungan PAS negeri telah mengeluarkan arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya tidak membantu calon DAP.

"Mana-mana ahli PAS yang membantu jentera pilihanraya DAP akan dikenakan tindakan," katanya.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghani, ahli PAS boleh sekadar hadir mendengar ceramah anjuran DAP atau pihak-pihak lain, termasuk Umno.

Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan kemungkinan PAS meletakkan calon bebas bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Sumber-sumber yang rapat dengan PAS Melaka berkata, ia didorong oleh perasaan kecewa pemimpin parti itu dengan sikap DAP yang didakwa tidak menghormati parti pembangkang itu.

Katanya, hasrat untuk meletakkan calon bebas itu akan dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi PAS secepat mungkin.

Menurut sumber-sumber itu lagi, DAP dilihat terlalu sombong dan 'tidak boleh diajak berbincang'.

Calon dikenalpasti

"Kita sudah mengenal pasti seorang profesional berbangsa Cina untuk menjadi calon bebas di Machap," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Pilihanraya kecil Machap diadakan berikutan kematian wakilnya Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu. Penamaan calon diadakan 3 April ini dan jika ada pertandingan hari mengundi ditetapkan pada 12 April.

Dalam pilihanraya umum 2004, Poh mengalahkan calon DAP, Lou Chen Keung dengan majoriti 4,562 undi. Poh mendapat 5,847 undi manakala Lou memperolehi 1,285 undi.

Machap mempunyai 9,887 pengundi berdaftar dengan jumlah pengundi Melayu 39.7 peratus, Cina (45.7 peratus), India (14.3 peratus) dan selebihnya kaum lain.

Menurut sumber itu lagi, PAS Melaka sangat kecewa dengan tindakan DAP memburuk-burukkan parti itu dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Sumber itu berkata, DAP langsung tidak menghormati PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama di negara ini.

"PAS sangat kecewa dengan DAP yang tidak pernah mahu berbincang dengan parti itu sejak berakhirnya pilihanraya umum lalu.

"PAS juga kecewa kerana program anjuran parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini tidak hadir DAP walaupun pada awalnya ia bersetuju hadir," katanya.