Bicara kes rasuah Zahid dijadualkan semula ke April
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjadualkan semula perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya dijadualkan semula ke April depan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding ke atas Zahid yang juga adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selama 27 hari bermula 10 April hingga 13 April.
Sequerah juga mengekalkan tarikh perbicaraan pada 15 hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai, serta 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos dan 21 hingga 24 Ogos.
Zahid membuat kemunculan pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri di mahkamah hari ini, selepas dilantik semula memegang jawatan itu pada 3 Disember tahun lalu.
Semasa sebutan kes pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Rozela Raja Toran memaklumkan bahawa "tertuduh atau lebih tepatnya TPM berada di kandang tertuduh".
Peguambela Ahmad Zaidi Zainal dan Hisyam Teh Poh Teik mewakili Zahid.
Pada November tahun lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh kes itu akan bersambung mulai hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian menangguhkan tarikh perbicaraan minggu ini dan menukar prosiding hari ini kepada sebutan.
Setelah memegang jawatan timbalan perdana menteri semasa pentadbiran BN di bawah perdana menteri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, Zahid sekali lagi dilantik sebagai TPM pada Disember tahun lalu.
Pelantikannya dibuat susulan pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Pada 24 Jan tahun lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan kerana rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019. Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac 2021, selepas memanggil 99 saksi.
Semasa peringkat pembelaan perbicaraan sejak tahun lalu, Zahid memberi keterangan antara lain bahawa jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi sebenarnya digunakan untuk kerja-kerja amal Islam dan kerja-kerja kebajikan.
Pada 24 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan sistem visa asing (VLN).
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap pembebasan itu dan pengurusan kes tersebut di Mahkamah Rayuan akan dibuat pada 17 Feb tahun ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/5580f9e5a101c4db96f31568fc5d6756.jpg)
