Paling Popular
Terkini

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 April ini bagi mendengar permohonan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu kesahihan Akta Hasutan 1948 ke mahkamah persekutuan.

Ketika dihubungi media, peguam, Sangeet Kaur Deo mengesahkan tarikh perbicaraan baru itu apabila Mahkamah Rayuan melapangkan tarikh perbicaraan yang pada awalnya ditetapkan hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah membenarkan penangguhan tersebut memandangkan Wan Ji sebelum ini diwakili oleh Ramkarpal Singh, dan dia baru sahaja mengambil alih kes itu.

Ramkarpal dilantik sebagai timbalan menteri undang-undang penghujung tahun lalu.

Wan Ji memohon Mahkamah Persekutuan meneliti isu perlembagaan membabitkan Akta Hasutan bagi menyokong rayuan utama ahli PKR itu untuk mengurangkan hukuman penjara setahun berhubung kes hasutan terhadap Sultan Selangor pada 2014.

Rayuan membabitkan kes hasutan itu masih belum selesai di Mahkamah Rayuan.

Wan Ji mengemukakan rayuan berhubung perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai 2020, yang membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara kepada satu tahun selepas dia didapati bersalah kerana menghasut.

Pertuduhan itu adalah berhubung hantaran di Facebook pada 2012 mengenai Sultan Selangor Sultan, Sharafuddin Idris Shah.

Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara daripada sembilan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada masa ini, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Wan Ji, yang merupakan bekas pembantu kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun serta denda maksimum RM5 ,000.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu sekali lagi menggesa agar Akta Hasutan dimansuhkan.

Sayap pemuda gabungan itu menggesa Wan Ji dibebaskan dan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas menjelaskan mengapa pihak pendakwaan merayu hukuman yang lebih berat.

Memandangkan keputusan itu diputuskan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, rayuan Wan Ji pada awalnya didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Rayuan ialah jalan terakhir untuk Wan Ji mengemukakan rayuan.

Lihat Komen
ADS