Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR tarik balik penggantungan ahli didakwa kritik pemimpin parti
Diterbitkan:  Jan 18, 2023 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

PKR mengembalikan semula keahlian Iswardi Morni, yang tahun lalu didakwa mengkritik kepimpinan parti di media sosial.

"Alhamdulillah, saya (didapati) tidak bersalah dalam semua pertuduhan. Penggantungan saya ditarik balik, dan keahlian saya telah dikembalikan. Forgive, don’t forget (maafkan tapi jangan lupa). Saya kembali," kata ahli PKR Sarawak itu di Twitter hari ini .

Menurut Iswardi, yang berdaftar dengan cawangan Petra Jaya di Sarawak, PKR mengambil tindakan terhadapnya kerana mengkritik keputusan parti di media sosial dan membuat kenyataan yang dianggap berbaur hasutan terhadap presiden dan setiausaha agung parti.

Iswardy juga ditahan pada 29 Mei tahun lalu selepas video YouTubenya, mengkritik Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan ketika itu berhubung pengurusan pandemik Covid-19, tersebar di media sosial.

Pengarah komunikasi parti itu Fahmi Fadzil mengesahkan Iswardy adalah ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam hierarki kepimpinan PKR Sarawak mahupun dalam kepimpinan pusatnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR Hassan Karim mempersoalkan sama ada wajar PKR "meninggalkan atau membuang" Iswardi berikutan penahanannya di bawah Akta Hasutan, kerana parti itu lantang mengkritik akta berkenaan.

Pada 1 Jun lalu, Iswardi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman Facebook yang disifatkan berbaur hasutan dan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan hak asasi manusia Article 19 kemudiannya menggesa pertuduhan menghasut terhadap Iswardy digugurkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS