Suhakam mencadangkan agar kursus hak kanak-kanak harus diwajibkan kepada semua jurulatih dan guru pendidikan jasmani untuk memenuhi sebagai sebahagian daripada syarat untuk mendapatkan lesen dalam melatih pelajar.

Pengerusi pertubuhan itu, Dr Rahmat Mohamad, menegaskan dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa, sebagai penandatangan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989, menjadi tanggungjawab negara untuk menghormati dan mempromosikan hak kanak-kanak untuk terlibat secara bebas dalam aktiviti rekreasi.

Dia merujuk kepada insiden Disember lalu apabila jurulatih pasukan bola tampar perempuan Bawah 14 tahun Melaka dirakam menampar dua pemainnya semasa siaran langsung kejohanan.

"Sekiranya insiden sebegini tidak ditangani dengan sewajarnya, dikhuatiri emosi kanak-kanak ini akan terganggu dan mereka mungkin berasa takut untuk bermain serta menyertai aktiviti sukan," kata Dr Rahmat.

Pada 12 Jan, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa lesen kejurulatihan jurulatih itu telah dibatalkan oleh Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA).

Suhakam turut menyatakan sokongan mereka terhadap pembatalan itu, berkata keputusan itu menunjukkan bagaimana hak kanak-kanak dipandang serius oleh kedua-dua kementerian.

“Itu merupakan satu isyarat tegas kepada semua jurulatih dan guru sukan bahawa pihak KBS dan KPM tidak akan berkompromi berhubung aspek keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya yang melibatkan atlet kanak-kanak.

"Keputusan ini juga dilihat sebagai jaminan bahawa kanak-kanak dan remaja tidak akan dikasari dan dijatuhkan maruah oleh mana-mana pihak apabila menyertai aktiviti sukan, kesenian atau kebudayaan," katanya.

Suhakam juga menyarankan semua ibu bapa dan penjaga melaporkan kes penderaan oleh jurulatih atau guru kepada polis, bersama-sama kementerian belia dan pendidikan sebagai usaha bersama menangani isu penderaan secara lebih proaktif.

Klip video kejadian yang berlaku semasa kejohanan di Johor pada 14 hingga 16 Dis tahun lalu, tular dan mencetuskan kekecohan di internet.

Jurulatih, Saiful Hadee Amar, 44, sebelum ini mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dengan menyatakan dia hanya mahu menaikkan semangat pemainnya, bukan mencederakan mereka.

Semasa siasatan dijalankan ke atas jurulatih itu, seorang bapa kepada salah seorang pemain meminta orang ramai memaafkan jurulatih itu dengan mendakwa anak perempuannya tidak menganggap situasi itu sebagai dera.