Timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan mengenal pasti tujuh langkah bagi mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion. 

Antara langkah itu ialah mengurangkan ketirisan, rasuah  dan ekonomi gelap serta meningkatkan pendigitalan ekonomi.

Berikut langkah-langkah penuh yang disenaraikan Ahmad di media sosialnya pagi ini:

  • Tambah pendapatan kerajaan

  • Kurangkan ketirisan seperti rasuah

  • Ketatkan penguatkuasaan seperti hapus penyeludupan

  • Kurangkan ekonomi gelap 

  • Tingkatkan pendigitalan ekonomi

  • Elakkan segala bentuk pembaziran

  • Subsidi perlu bersasar.

Setiausaha agung Umno itu bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut perkara tersebut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengingatkan penjawat awam supaya tidak leka memandangkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion, termasuk liabiliti.

Mengingatkan ekonomi global masih malap, Anwar antaranya berkata kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM4 bilion daripada kebocoran perolehan kerajaan seperti dalam perolehan ketenteraan dan bantuan banjir.

Serampang 3 mata Rafizi

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula berkata hutang itu boleh ditangani melalui `formula' serampang tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

Rafizi Ramli

Memetik Harian Metro, Rafizi berkata kerajaan boleh mengambil pendekatan jangka pendek dan segera dengan mendapatkan nilai terbaik bagi setiap perbelanjaan kerajaan.

"Kita boleh memastikan penyampaian projek dan kecekapan kos setiap projek kerajaan dapat dimaksimumkan.

"Itu caranya untuk menjimatkan wang dengan memastikan ketirisan dapat dihentikan," katanya selepas menerima kunjungan hormat pengurusan kanan Media Prima di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.