Meninjau hala tuju Muafakat Nasional acuan Annuar
Muafakat Nasional (MN) asalnya dikenali sebagai satu persefahaman tidak berdaftar membabitkan kerjasama politik dua parti politik berbeza, dengan satu daripadanya menjadi pembangkang berpuluh-puluh tahun, manakala satu lagi baru pertama kali.
Ia berlaku selepas terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) hasil mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada 2018.
Namun ia menunjukkan bentuk yang berbeza - bermula ketika menjelangnya PRU ke-15, sehinggalah terbentuk pula kerajaan perpaduan selepas itu.
Kini MN tampil dengan susuk lebih jelas sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai pemimpin Umno yang terbuang dari partinya, Annuar Musa, dan disertai beberapa tokoh dikenali ramai termasuk yang sesetengahnya dibuang pengundi.
Apabila dipecat Umno, bekas ahli parlimen Ketereh itu - Annuar - mula menggerakkan MN sebagai platform baru dalam meneruskan karier sebagai pemimpin.
Malaysiakini cuba meninjau apakah hala tuju dan masa depan MN dan keberdayaan dalam menentukan misi serta visi pertubuhan terbabit, selain peranan yang boleh dipengaruhi.
Tidak nampak agenda tersirat
Sejarah menunjukkan penampilan pelbagai NGO di Malaysia tidak banyak yang mampu 'terbang tinggi' lebih-lebih lagi jika adunannya tidak bebas daripada pengaruh dan kecondongan politik.
Sebaliknya sesebuah NGO itu lebih menyerlah jika misi dan visinya bebas daripada berpihak mana-mana aliran politik kepartian atau sekurang-kurangnya tidak memperlihatkan sisi-sisi terbabit.
Antaranya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Belia Malaysia, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan seangkatan yang memiliki perjuangan tanpa fokus politik tertentu.
Bagaimanapun MN di tangan Annuar dilihat berkemungkinan memainkan peranan lebih meluas dan tidak mengehadkan terhadap hal-hal tertentu sahaja.
Sebagai orang politik juga bekas menteri berpengalaman dia sudah pasti dilihat bakal menjadikan NGO sebagai jambatan - atau talian hayat - buat langkah politiknya.
Dengan membariskan beberapa tokoh politik selai Umno dalam kepimpinannya, MN secara tidak langsung memberi gambaran yang ia akan lebih dekat kepada jalur politik.

Namun Annuar - melalui mesyuarat jawatankuasa tertinggi MN pertama pada tahun ini - dilaporkan menubuhkan enam kluster dalam MN bagi memperkuat organisasi tersebut.
Kluster berkenaan ialah ekonomi; sosial dan kebajikan; pendidikan dan kenegaraan; politik dan kepimpinan; belia dan mahasiswa; serta media sosial dan seni budaya.
Ada penganalisis politik berpendapat melihat keberadaan MN setakat ini, tidak nampak ada agenda tersirat daripada Annuar.
Sebaliknya kata pensyarah Program Pengajian Polisi di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Zaharul Abdullah, MN dilihat memfokuskan agenda penyatuan ummah dan mengangkat agenda Melayu-Islam.
"Saya tidak melihat ada agenda tersirat penubuhan MN. Penubuhan ini selari dengan hasrat, harapan dan desakan Annuar agar parti-parti politik berteraskan Melayu-Islam untuk bersatu.
"Pada saya, MN akan dimanfaatkan oleh Annuar sebagai mekanisme advokasi, pembentukan konsensus dan kerja kebajikan. Namun, untuk kegiatan politik, dia akan memilih untuk menyertai parti-parti politik sedia ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ditanya bagaimana garapan perlu diterjemah Annuar bagi memastikan MN relevan dan mampu menjadi NGO berkesan, Zaharul berkata, NGO terbabit perlu bersifat sederhana dalam memperjuangkan agenda Melayu Islam.
"Pendirian yang terlalu ke kanan (right wing) tidak dapat diterima oleh majoriti Melayu Muslim di Malaysia yang telah sedia menerima dan meraikan kepelbagaian budaya dan agama.
"Meskipun perjuangan agenda Melayu-Islam oleh MN ini telah diletakkan di bawah payung Rukun Negara dan perlembagaan, ia perlu diterjemahkan dan dibuktikan melalui pelaksanaan aktivitinya.
"Kedua, MN perlu memainkan peranan semak dan imbang berkesan ke atas kerajaan.
"Selain itu MN perlu terkehadapan menegur dan mengkritik secara konstruktif sekiranya tindakan kerajaan tidak sensitif terhadap agenda Melayu-Islam," katanya.
Tambah Zaharul, MN juga perlu memainkan peranan sebagai 'suara ketiga' atau 'jalan tengah' antara pihak kerajaan dan pembangkang.
"Peranan sebagai suara ketiga ini penting bagi menyederhanakan pendirian kerajaan mahupun pembangkang dan membentuk pandangan umum masyarakat dalam isu Melayu-Islam.
"Dalam konteks ini, MN perlu bersikap neutral dan tidak memihak kepada kerajaan atau pembangkang agar pandangannya dapat diterima umum dan berimpak," jelasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/e0ffc35810f003556f7cb8f62cf8b01a.jpg)
