'Suruhanjaya kanak-kanak perlu diberi kuasa luas, mandat jelas'
Suruhanjaya kanak-kanak harus diberi bidang kuasa yang luas dan mandat yang jelas dalam memastikan perlindungan serta hak kanak-kanak, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata adalah penting untuk menyediakan peruntukan dan tenaga kerja yang mencukupi bagi memastikan suruhanjaya itu dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan.
"Suhakam berharap agar Suruhanjaya yang akan ditubuhkan ini dapat menangani pelbagai aspek merangkumi isu kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dalam pembangunan negara.
"Oleh itu, peruntukan dari segi kewangan dan sumber manusia yang mencukupi amat penting agar suruhanjaya ini dapat melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberi dengan lebih efektif," kata Rahmat dalam kenyataan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan kabinet telah bersetuju untuk melantik seorang pesuruhjaya bagi kanak-kanak di bawah Suhakam untuk menangani kes penderaan dan masalah sosial berkaitan kanak-kanak.
Rahmat memuji langkah berkenaan sambil menyifatkan penubuhan suruhanjaya ini adalah satu langkah yang betul dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara pihak (State party) kepada Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).
"Pembentukan suruhanjaya kanak-kanak ini adalah suatu langkah positif ke arah memelihara kehidupan bermaruah kanak-kanak selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang diketengahkan perdana menteri," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/cc30268e1256f1967fc222fec4d5023f.jpg)
