Jurutera jadi mangsa penipu, rugi hampir RM3 juta
Seorang jurutera sebuah kilang mengalami kerugian lebih RM2.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam dalam kejadian di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pada 1 Dis lalu wanita berusia 45 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa kononnya pekerja di sebuah syarikat kurier.
"Lelaki itu mendakwa terdapat bungkusan atas nama dan alamat wanita terbabit, dan kononnya bungkusan berkenaan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan pasport milik beberapa individu yang digunakan oleh mangsa untuk kegiatan jenayah.
"Mangsa menafikan bungkusan itu miliknya malah tidak pernah terlibat dalam mana-mana jenayah.
"Bagaimanapun panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak," katanya kepada pemberita selepas walkabout dan advokasi Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Pasar Awam Taman Selamat, di Bukit Mertajam hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis itu mengarahkan wanita terbabit - yang bekerja di Bayan Lepas - agar mengikuti arahannya termasuk memindahkan sejumlah wang jika tidak mahu ditangkap.
Mohd Shuhaily berkata wanita itu yang panik dan takut ditahan kemudian mengikut arahan suspek dengan memindahkan wangnya iaitu sebanyak RM1.9 juta kepada beberapa akaun yang diberikan oleh sindiket tersebut.
"Wanita itu juga turut meminjam wang daripada ahli keluarganya sebanyak RM700,000 serta membuat pinjaman bank RM329,000. Semua duit tersebut turut dipindahkan kepada sindiket itu sejak 1 Dis hingga 6 Jan lepas," katanya.
Mohd Shuhaily berkata mangsa membuat sebanyak 129 transaksi dengan cara pemindahan dalam talian dan mesin deposit tunai kepada 26 akaun berbeza dipercayai milik rangkaian sindiket itu.
Katanya wanita itu hanya menyedari dia menjadi mangsa hanya menceritakan kejadian tersebut pada rakan-rakannya pada 6 Jan lepas sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tidak mudah terpedaya dengan sindiket tersebut," katanya menambah kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Bernama
/file/1337/6dc13edb3ce9c56b59e1345fa385f84c.jpeg)
