Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Kamarul Baharin Abbas berdepan dengan notis muflis kerana didakwa gagal menjelaskan hutang RM4 juta kepada seorang pengarah syarikat.

Bagaimanapun, Kamarul, 59, mengemukakan permohonan untuk mengetepikan notis bertarikh 10 Januari 2007 itu, yang difailkan terhadapnya kerana gagal mematuhi perintah mahkamah supaya membayar RM2.112 juta kepada Mohd Yusof Abu Othman.

Menurut laporan Bernama, Penolong Pendaftar Kanan, Siti Shakirah Mohtarudin hari ini menetapkan 5 Jun untuk mendengar permohonan Kamarul bagi mengetepikan notis berkenaan selepas membenarkan permohonan beliau bagi menangguhkan perbicaraan kes itu yang dijadualkan hari ini.

Pada 5 September 2002, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kamarul membayar RM2.112 juta kepada Mohd Yusof, 55, selepas membenarkan tuntutan sivil oleh Mohd Yusof berkaitan bayaran penjualan 844,800 saham Tenaga Ehsan Sdn Bhd kepada Kamarul.

Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM4,069,741.47 berikutan faedah yang terkumpul.

Dalam afidavit menyokong permohonannya bagi mengetepikan notis itu, Kamarul berkata pengeluaran notis muflis itu tidak sah di sisi undang-undang, berniat jahat dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Dalam afidavitnya pula, Yusof membantah permohonan Kamarul untuk mengetepikan notis itu kerana mendakwa ia sah di sisi undang-undang dan tidak berniat jahat.