Naib Presiden MIC, C Sivarraajh, melepaskan jawatannya sebagai anggota lembaga pemegang amanah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) atas alasan mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti.

Katanya selepas orang India menolak MIC dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, dia berasa terpanggil untuk memulihkan keadaan.

"Saya sentiasa menjadi orang parti. Akar umbi sentiasa bersama saya.

"Orang India menolak MIC pada PRU ke-15, jadi saya mahu memberikan fokus untuk mengembalikan kepercayaan orang India.

"Kita kena sediakan kepimpinan untuk mereka, itulah asas teras MIC sejak 1946," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama Sivarraajh menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa peletakan jawatannya daripada MIED - yang menjadi cabang pendidikan MIC - adalah isyarat bahawa dia kini menjauhkan diri daripada parti terbabit.

Menurut Sivarraajh, dia meletakkan jawatan itu sebelum mesyuarat agung tahunan MIC pada Okt tahun lalu, justeru tidak ada asas untuk mana-mana pihak mengaitkan keputusan berkenaan dengan prestasi buruk MIC pada PRU ke-15.

Katanya selepas meletak jawatan daripada MIED, dia mahu memberi tumpuan penuh kepada MIC dan politik.

"MIC sepatutnya menjadi elemen semak dan imbang dalam gabungan baru (kerajaan) sekarang," katanya.

Sivarraajh sepatutnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU ke-15 lalu tetapi pengundian bagi kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian penyandangnya M Karuppaiya pada 16 Nov, hanya dua hari sebelum hari pengundian.

Apabila pengundian diadakan 7 Dis 2022, Sivarraajh kekal sebagai calon BN namun diminta memberi laluan kepada calon PH Sofee Razak ekoran kerjasama yang terbentuk di antara kedua-dua parti sebelum itu.