Syarikat yang tidak mampu membayar gaji minimum RM1,500 tetapi masih dibenarkan mengambil pekerja asing di bawah pelan baru yang dilonggarkan berkemungkinan kurang memenuhi piawaian undang-undang buruh lain, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini.

Timbalan pengerusinya S Arutchelvan berkata demikian sebagai membidas pengumuman Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini bahawa majikan kini diberi selama enam bulan selepas mereka membawa masuk pekerja asing untuk mematuhi undang-undang buruh - termasuk membayar gaji minimum.

“Mengapa membenarkan majikan membawa masuk pekerja asing jika mereka tidak boleh membayar gaji minimum RM1,500?

"Kenyataan menteri (Saifuddin) yang memberi mereka (majikan) tempoh enam bulan sama sekali tidak boleh diterima," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

“Bayangkan jika syarikat membawa pekerja asing baru tetapi mereka tidak boleh membayar gaji minimum, adakah anda fikir mereka akan mengikut semua undang-undang penting lain mengenai perumahan dan lain-lain?

"Nampaknya, di sebalik retorik bahawa kerajaan adalah pro golongan miskin, kita telah melihat bahawa mereka seolah-olah hanya mendengar suara majikan dan bos," kata Arutchelvan.

Arutchelvan berkata demikian dalam menyuarakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh aktivis hak warga asing, termasuk tentang bagaimana tempoh enam bulan berkenaan akan meningkatkan risiko pekerja dieksploitasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pada 17 Jan bahawa majikan yang layak akan dikecualikan daripada prasyarat termasuk keupayaan untuk membayar gaji minimum, sehingga enam bulan selepas itu di mana mereka akan diperiksa bersama Kementerian Sumber Manusia.

Arutchelvan seterusnya menegaskan bahawa penglibatan Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Sumber Manusia dalam pengurusan pengambilan pekerja asing telah menyumbang kepada masalah yang lebih besar.

Saifuddin dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar pada minggu lalu mengumumkan rancangan yang lebih besar yang dikatakan untuk meringankan beban majikan dari pelbagai industri yang mencari memerlukan pekerja asing.