Isham bidas Hadi, gesa pembaharuan pendanaan politik
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mempertahankan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Isham dalam satu kenyataan berkata, jika ikut logik ahli parlimen Marang itu, maka sesiapa pun boleh beri “sedekah” dan timbal balas “sedekah” itu tidak penting.
“Oleh itu, jika kontraktor projek tebatan banjir yang dapat kontrak secara rundingan terus RM15 bilion ingin beri duit kepada ahli-ahli politik PN atau PAS dalam kerajaan yang telah luluskan kontrak ini pun bolehlah dikategorikan sebagai ‘sedekah’.
“Dan duit ini untuk mereka guna untuk “sedekah” kepada pengundi dalam pilihan raya. Dan sebahagian duit dari dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion yang diberikan komisyen oleh kontraktor kepada broker kepada menteri atau ahli politik kerajaan PN yang sedang disiasat SPRM itu pun bolehlah dikira ‘sedekah’, jika ‘dalil’ Hadi ini diguna pakai,” sindir Isham.
Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa PRU ke-15 lalu dengan mendakwa ia adalah “sedekah” dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Abdul Hadi juga dilapor sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.
Mengulas lanjut Isham menegaskan, sedekah tidak ada timbal balasnya, ia ikhlas diberi kepada orang yang memerlukan.
“Jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ianya bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah.
“Memberi duit kepada pengundi semasa pilihanraya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi PAS itu bukan sedekah, itu sogokan atau rasuah,” katanya.
Isham berkata Abdul Hadi tidak perlu mencari dalil untuk menghalalkan rasuah pengundi.
“Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihan raya?
“Dan sebelum pilihan raya atau semasa dalam kerajaan, untuk beri ‘sedekah’ ini, mereka ambil rasuah dari projek kerajaan untuk guna duit itu bagi tujuan merasuah dan ‘sedekah’ pengundi untuk menang pilihan raya untuk membentuk kerajaan dan mendapat jawatan kerajaan. Ini adalah kitaran rasuah dan politik wang yang busuk dan teruk,” tegasnya.
Justeru, tegas Isham, pendanaan politik negara juga perlukan reformasi.
“Betul politik memerlukan wang namun jika itulah sistem sedia ada, ia adalah suatu sistem yang amat buruk dan perlu diubah dan bukannya dibuat dengan lebih teruk umpama politik wang ‘on steroid’ seperti yang dilakukan oleh PN dalam pilihan raya baru-baru ini dan semasa menjadi kerajaan selama 17 bulan.
“Apa yang mungkin ingin ditunjukkan oleh Allah SWT dalam pilihan raya baru-baru ini adalah orang-orang yang kononnya bergelar ulama dan pak-pak lebai juga tidak imun dari gelap mata akibat duit dan rasuah,” katanya.
Tambahnya, reformasi diperlukan dalam pendanaan politik supaya ia tidak kotor.
“Dan supaya anak-anak muda pun boleh terlibat dalam politik jika mereka ada niat dan perjuangan yang baik tanpa perlu ambil rasuah.
“Jika tidak, hanya orang-orang kaya atau orang-orang perasuah sahajalah yang boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara di Malaysia.
“Orang yang ikhlas, baik dan tidak kaya raya tidak berpeluang melawan duit ‘sedekah’ perasuah-perasuah kaya untuk berjaya dalam politik di Malaysia. Ini tidak baik dan tidak sepatutnya,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/e7dbaa5fbd91e9c151f9e12d5c919828.jpg)
