Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata bahawa gabungan itu akan memilih calon dengan berhati-hati untuk pilihan raya negeri yang akan diadakan di enam negeri pada tahun ini.

Membangkitkan tiga negeri di bawah PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Hamzah berkata PN perlu memastikan calon yang diletakkan diterima semua, termasuk pengundi bukan Melayu.

"Saya percaya PN boleh menang besar di semua negeri pada PRN ini.

"Tapi bila cakap mengenai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, kita benar-benar perlu memastikan semua calon diterima oleh semua orang, bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

"Kita perlu amat berhati-hati dan pasti terhadap calon (yang akan diletakkan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan mencatatkan kejayaan besar pada PRU lalu, terutama di kerusi majoriti Melayu.

Gabungan itu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Perlis, serta 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

Hamzah turut menyuarakan keyakinan PN mampu menang besar di negeri yang ditadbir mereka, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Saya yakin kami boleh menang besar di negeri di bawah PN....di kerusi (majoriti) Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu, insya-Allah saya yakin kami mampu menang.

"Kali ini kita (juga) nak menang di Selangor, Negeri Sembilan dan kalau boleh Pulau Pinang," katanya lagi.