Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tumpu pengundi muda, sasar majoriti mudah di N Sembilan
Diterbitkan:  Jan 24, 2023 10:56 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

PN akan menyasarkan pengundi muda dan pengundi kali pertama - yang dilihat menyokong gabungan itu pada PRU lalu - sebagai antara strategi utama merampas Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Walaupun tidak memegang sebarang kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu, PN yakin sokongan yang dimiliki akan membolehkan mereka menang dengan majoriti mudah dalam PRN yang akan diadakan tahun ini.

Menurut Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan Khairul Yazman Yahya, platform media sosial seperti Tik Tok sekali lagi akan menjadi tumpuan mereka untuk menambat hati golongan muda.

“Ikut trend sekarang pengundi muda beralih kepada kita. Di Negeri Sembilan antara 35 peratus hingga 45 peratus pengundi beralih kepada kita.

“Yang paling seronok saluran tiga ke atas banyak memihak kepada kita. Untuk itu kempen media sosial kena secara berfokus.

“(Kandungan) Tik Tok kita akan kemas kini dari masa ke masa ikut trend yang mereka suka. Kita akan mendekati anak muda dengan pelbagai program mesra mereka,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Khairul Yazman

Tik Tok sememangnya memainkan peranan penting terhadap kejayaan PN pada PRU lalu.

Namun, platform itu kemudian membangkitkan kebimbangan berhubung kandungan kontroversi berbayar yang dimuat naik, yang menyasarkan pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Kira-kira 2,000 kandungan yang dimuat naik telah dipadam secara automatik oleh Tik Tok pada November lalu.

Khairul juga berkata PN akan memberi tumpuan kepada kerusi majoriti Melayu dalam usaha mereka merampas Negeri Sembilan.

“Kerusi pengundi Melayu 60 peratus ke atas ada 21 (daripada 36 kerusi). Daripada itu kita sasarkan menang 19 kerusi, itu agak realistik.

“Sebenarnya kalau ikut nafsu kita nak bertanding 36 kerusi tetapi kita kena realistik jadi sasarannya adalah 19 kerusi kemenangan untuk PRN akan datang,” katanya.

Katanya lagi, gerak kerja PN sudah bermula dengan perhimpunan Semarak Gelombang Rakyat pada hujung minggu lalu, yang dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Dalam PN, kita tiga parti ini (Bersatu, PAS dan Gerakan) sudah berbincang, bermula hari ini kita teruskan gelombang ini sampai ke akhir. Tujuannya untuk kita kumpul jentera,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS