Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada mesyuarat bincang nasib KJ petang ini - sumber

NOTA EDITOR: Laporan ini dikemas kini berdasarkan maklumat terbaru.


Tiada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno atau Lembaga Disiplin parti mahu pun mesyuarat tergempar melibatkan pemimpin parti itu petang ini.

Sebaliknya, menurut sumber, MKT hanya akan bermesyuarat Jumaat ini.

Sumber bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada MKT akan membincangkan tentang nasib bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin atau pun tidak.

"Tiada apa-apa hari ini. Tak ada mesyuarat jawatankuasa pengurusan pun. Mesyuarat Lembaga Disiplin pun tak ada. Cuma mungkin Jumaat malam akan ada MKT," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Terdahulu, media memetik Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menjawab soalan pemberita mengenai nasib Khairy yang lantang mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menjawab pertanyaan mengenai status keahlian Khairy dalam parti semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur awal hari ini, Mohamad berkata: “Petang ini”.

Tidak dapat dipastikan maksud sebenar Mohamad mengenai kenyataannya itu.

Khairy baru-baru ini memuji tindakan dua ahli Umno yang telah memfailkan laporan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung usul tambahan dua jawatan teratas parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Antara lain, Khairy menyifatkan keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu sebagai "kegilaan" dan menyekat demokrasi dalam Umno.

Menantu bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi itu mendakwa dia terpaksa melepaskan kerusi Rembau sebelum ini di Negeri Sembilan kepada Mohamad Hasan.

Semasa tempoh kempen, Khairy cuba menjarakkan diri daripada Zahid, yang berdepan dengan kes rasuah.

"Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

"Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (Umno) dan mahu Umno dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu. Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka Umno tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam Umno.

"Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya. Saya dan rakan lain mahu kembalikan Umno sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu," katanya.

Kenyataan Khairy itu menimbulkan kemarahan pihak yang sehaluan dengan Zahid, seperti Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Khairy pernah memberi gambaran rancangannya untuk bertanding jawatan tertinggi Umno. Pada pemilihan parti 2018, dia menduduki tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru dengan Zahid dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Lihat Komen
ADS