Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesara direman untuk bantu siasatan kes mayat wanita dalam semak

Seorang pesara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita di kawasan semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai, Marang pada Khamis lepas.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berumur 59 tahun itu dikeluarkan majistret Zur Azureen Zainalkefli, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan di Jeli, Kelantan, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris dalam kenyataan semalam berkata identiti mangsa telah dikenal pasti sebagai Zarina Mukhtar, 57.

Katanya pengesahan identiti berkenaan dibuat dengan berpandukan padanan rekod cap jari di Jabatan Pendaftaran Negara serta menerusi Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mayat itu ditemukan orang awam tanpa sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar dan tiada kesan pergelutan atau tompokan darah dijumpai di lokasi itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS