Dari isu sedekah ke 'masalah mental' - Pemimpin Umno, PAS terus berbalah
Pertikaman lidah antara pemimpin Umno dan PAS terus berlarutan berhubung isu pemberian wang tunai kepada pengundi semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Abdul Hadi Awang mengalami “kemurungan politik yang melampau” selepas Presiden PAS itu mengatakan pemberian wang kepada pengundi sebagai sedekah.
“Saya syak Presiden PAS mengalami masalah kemurungan politik melampau sebab itulah dia masih duduk, merapu, meroyan dan sibuk nak campur urusan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Dia ini masih tak berhenti-henti bercakap macam masih tak boleh terima takdir Allah.
“Malah seperti biasa, Abdul Hadi cukup popular dengan siri fatwa-fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja. Bila orang buat salah, tapi bila dia buat terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuklah yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepada Abdul Hadi dan PAS,” katanya.

Kenyataan Nur Jazlan itu bagaimanapun dibidas Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa Timbalan Pengerusi Umno Johor itu sebenarnya mengalami gangguan psikologi.
"Saya cadangkan ahli-ahli Umno berpakat kumpulkan dana, bagi sumbangan (atau sedekah) kepada beliau untuk membuat pemeriksaan mental. Bimbang terus-menerus seperti ini, rakan-rakan sendiri akan terus pulaukan.
"Saya juga berharap dia dilantik mengetuai Umno Johor, supaya mudah kami tawan Johor di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli berkata Nur Jazlan terpaksa menongkah arus dengan menjadi penyokong tegar Presiden Umno, Ahmad Zahid.
Katanya, ini walaupun Menteri Besar Johor, Onn Hafiz sendiri meminta Ahmad Zahid supaya berundur dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad setuju agar jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dipertandingkan.
Sebelum ini Onn menggesa Ahmad Zahid berundur berikutan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu, manakala Hasni meminta dua jawatan tertinggi dalam Umno dipertandingkan.
'Berilah upah menyalak'
Ahmad Fadhli juga mengulas kenyataan Nur Jazlan bahawa Umno Johor tidak bermesyuarat mengenai isu pertandingan jawatan nombor satu dan nombor dua dalam Umno.
"Benarkah? Atau dia sendiri sedang dipulau? Kasihan makhluk ini, bersungguh-sungguh menonjolkan diri, kepada pimpinan partinya yang ada kuasa dalam kerajaan, berilah sesuatu kepada Nur Jazlan ini sebagai upah menyalak. Tiada isi, tulang pun ok," katanya.

Ahad lalu, Ahmad Zahid menggelar presiden PAS sebagai hipokrit berkenaan isu pemberian wang kepada pengundi.
"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," kata Ahmad Zahid.
Dia juga menggelar Abdul Hadi sebagai "ulama politik" dan memintanya supaya tidak menukar fatwa sesuka hati.
Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat susulan tindakan Umno Terengganu memfailkan petisyen di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi yang dimenangi PAS di Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang.
Umno Terengganu mendakwa PAS merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student beberapa hari sebelum PRU15.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyifatkan pemberian wang tunai ketika PRU merupakan rasuah dan mengatakan suruhanjaya itu telah membuka beberapa kertas siasatan berhubung itu itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/47486d198643b67639fb268b372738f0.jpg)
