Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Hulu Langat hantar memorandum kepada Sultan S'gor gesa siasat Hadi
Diterbitkan:  Jan 26, 2023 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggesa siasatan ke atas Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas dakwaan ekstremisme.

Memorandum yang dihantar pagi tadi mendakwa Abdul Hadi menggunakan agama untuk kepentingan politik semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan telah menyebarkan sentimen kebencian terhadap budaya lain di Malaysia.

Sany melahirkan kebimbangannya bahawa jika tiada apa-apa yang dilakukan untuk mengawal tindakan pemimpin PAS itu, pengaruhnya akan "menghancurkan" budaya harmoni negara.

“Dia hanyalah salah seorang daripada mereka tetapi jika kita tidak berbuat apa-apa mengenainya, sesetengah orang boleh terpengaruh dengan kata-katanya dan mereka akan cuba memusnahkan ikatan harmoni rakyat kita.

“Kita telah melihat perkara ini berlaku semasa PRU15 di mana beliau menggunakan agama untuk kepentingan politik, di mana beliau menggunakan kuasa sebagai pemimpin untuk mengganggu-gugat keamanan negara dengan menyebarkan pembohongan dan khabar angin palsu mengenai budaya lain,” kata Sany kepada pemberita di hadapan Istana Alam Shah, di Klang hari ini.

“Oleh itu saya meminta pihak berkuasa yang berkenaan iaitu Sultan Selangor dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengambil tindakan segera terhadap Abdul Hadi sebelum terlambat,” tambah pemimpin Amanah itu.

Untuk rekod, MKI dipengerusikan Sultan Sharafuddin.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, yang menyuarakan kebimbangan sama dan menyatakan bahawa ekstremisme agama bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada agama dan budaya lain tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada agama sendiri.

“Islam adalah, dan sepatutnya, agama yang aman. Kita tidak seharusnya menyebarkan sentimen kebencian atau apa-apa yang berbahaya.

“Insya-Allah, saya harap isu ini akan diambil serius kerana ini bukan sahaja dapat melindungi keharmonian pelbagai budaya kita malah ia juga dapat mengelakkan umat Islam dilihat dalam pandangan yang buruk,” kata Azli.

Dalam memorandum itu, Abdul Hadi juga didakwa mempunyai fahaman ekstremis, cuba mempertikaikan perpaduan negara, perlembagaan, dan undang-undang, serta cuba menyuburkan budaya takfiri.

Abdul Hadi dikaitkan dengan rentetan kenyataan kontroversi sebelum, semasa, dan selepas PRU15, dan seterusnya mengundang pelbagai kritikan daripada ahli politik dan orang ramai.

Lihat Komen
ADS