Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan dua individu kemuka tuntutan palsu kerja pembersihan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM60,000 sekitar 2020 hingga tahun lepas.

Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki berusia 30-an dan wanita berumur 50-an ditahan di pejabat SPRM Selangor, sekitar 6.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan merupakan pemilik dan ketua penyelia syarikat perkhidmatan pembersihan dipercayai membuat tuntutan palsu bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan membabitkan sebuah bangunan kerajaan di Kuala Lumpur.

"Kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan palsu dari tahun 2020 hingga 2022 membabitkan kontrak bernilai lebih RM4.2 juta," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS