PAS terima jemputan Umno untuk perpaduan nasional
PAS akan meneruskan pertemuan dengan Umno bagi mendapatkan 'gambaran sebenar' setelah saranan parti itu dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.
"Kita bersetuju (untuk) bersemuka dengan Umno (bagi) mendapatkan gambaran sebenar," kata Presiden PAS Datuk Fadzil Noor kepada malaysiakini hari ini.
PAS akan meneruskan pertemuan dengan Umno bagi mendapatkan 'gambaran sebenar' setelah saranan parti itu dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.
"Kita bersetuju (untuk) bersemuka dengan Umno (bagi) mendapatkan gambaran sebenar," kata Presiden PAS Datuk Fadzil Noor kepada malaysiakini hari ini.
Beliau mengulangi cadangannya sebelum ini bahawa parti itu menerima pelawaan itu jika skop perbincangannya diperluaskan kepada isu-isu nasional seperti turut dipersetujui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Dalam laporan agensi Bernama , Abdullah berkata Umno tidak mempunyai masalah untuk menerima cadangan PAS itu kerana "perlu diingat perpaduan Melayu sangat penting untuk perpaduan negara."
Bagaimanapun, Parti Keadilan Nasional dua hari lalu memutuskan untuk menolak jemputan Umno bagi mengadakan pertemuan tiga penjuru, termasuk PAS. Sementara PRM dan DAP menegaskan perbincangan itu harus mengutamakan perpaduan nasional.
Fadzil menjelaskan hasrat dan pandangan tiga komponen BA itu tidak bercanggah dengan tujuan parti Islam itu untuk menerima cadangan Umno minggu lalu.
Apabila ditanya sama ada cadangan BA itu tidak akan menggagalkan usaha pertemuan PAS-Umno, Fadzil berkata jemputan BA itu ditujukan kepada seluruh komponen BN dalam konteks perpaduan rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan semalam, lapan pemimpin utama pembangkang itu dalam perjumpaan dua hari lalu bersetuju menjemput parti-parti kerajaan bagi membincangkan "cabaran-cabaran genting" yang dihadapi negara hari ini
Isu-isu yang ditimbulkan antaranya pendakwaan terpilih terhadap penentang kerajaan, tindakan keras terhadap parti pembangkang, sekatan ketat ke atas media, penafian mengadakan perhimpunan aman, keganasan polis yang sistematik dan pengurusan ekonomi negara.
"Adalah menjadi harapan ikhlas BA agar pimpinan BN menerima jemputan ini," jelas kenyataan itu yang ditandatangani empat presiden BA dan timbalan masing-masing.
Mereka juga menyifatkan krisis ini yang bermula selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan sebahagian besar penyokong Umno dan BN memberikan sokongan kepada pembangkang.
Peralihan sokongan
"(Oleh itu) sangat silap untuk menafsirkan peralihan (sokongan pengundi) ini sebagai perpecahan di kalangan orang Melayu," kata mereka.
"(Krisis itu) tidak dapat diselesaikan dengan mengadakan perbincangan tentang perpaduan Melayu semata-mata."
Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock berkata, tiga parti alternatif telah bersepakat menolak cadangan Umno itu dan sebaliknya menumpukan usaha perbincangan bagi perpaduan nasional.
"BA amat serius untuk membincangkan isu-isu ini (seperti dalam kenyataan semalam)," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Sementara Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar berharap PAS akan tegas dalam pertemuan dengan Umno untuk membangkitkan isu-isu rakyat setelah Presiden parti Melayu itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menggambarkan hanya akan menumpukan perbincangan kepada soal perpaduan Melayu.
Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali ketika dihubungi malaysiakini yakin bahawa PAS akan menerima jemputan parti kerajaan itu sekiranya topik perbincangan diperluaskan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.