Bekas Menteri Kewangan,Tengku Razaleigh Hamzah khuatir bangsa Melayu yang sedang berkuasa, menentukan nasib bangsa dan negara menurut kehendak mereka dan bukannya mengikut kehendak rakyat.

Ini, katanya, boleh mengakibatkan "anak cucu kita nanti tidak mempunyai apa-apa harta lagi untuk meneruskan kehidupan mereka di tanahair sendiri".

"Yang kita khuatir ialah politik wang dan amalan rasuah yang datang dari dalam diri bangsa kita sendiri," katanya ketika menyampaikan ceramah agung bertajuk 'Pemikiran dan visi Tun Abdul Razak dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia merentas sempadan' di Universiti Malaya di ibu negara hari ini.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu dan dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata: "Kita tidak perlu takut kepada pelabur asing asal mereka tidak dibiarkan menakluk kawasan kita seperti yang dilakukan oleh Israel yang menakluki Tebing Barat dan kawasan lain Palestin".

Katanya, pelaburan asing jangan dibiarkan berkembang menjadi penceroboh atau perampas ekonomi negara ini.

Pelihara kedaulatan negara

"Memang bukan tugas kerajaan untuk berniaga tetapi kerajaan yang dipilih rakyat juga mempunyai tanggungjawab moral dan tangggungjawa memelihara kedaulatan negara dan maruah atau jati diri bangsa.

"Ini bererti kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa bumi atau kawasan ekonomi kita tidak dijadikan milik ekonomi kuasa-kuasa asing sehingga kita menjadi tawanan dan rakyat seolah-olah menumpang di kawasan ekonomi milik asing di tanh air mereka sendiri," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, masalah dan krisis ekonomi, sosial, budaya dan politik sentiasa timbul apabila kepimpinan negara tidak mempunyai visi dan fokus yang benar, jelas dan mantap untuk kepentingan bangsa atau rakyat dan negara berdasarkan acuan sendiri.

Katanya, rakyat akan menjadi bingung dan akhirnya orang tidak akan menghormati segala macam dasar dan sistem kerajaan yang tidak menentu dan diubah menurut kepentingan pihak tertentu yang berkuasa dan berkepentingan.

Beliau berkata, pelajar, para pegawai, orang korporat dan ahli politik (baik dalam Umno atau Barisan Nasional ataupun dari pembangkang) membaca dan memahami fikiran, wawasan dan visi Razak dalam meletakkan asas pembangunan dan perpaduan negara.

"Saya hendak melontar suatu soalan untuk renungan kita bersama: Apakah kita hari ini mempunyai apa-apa pilihan atau model lain yang dapat menggantikan wawasan Razak itu sebagai formula terbaik untuk memajukan negara ini atas landasan perpaduan nasional yang benar," katanya.

Wawasan Razak

Wawasan Razak diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri itu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 iaitu untuk melahir dan membina masyarakat dan negara Malaysia yang bersatu padu.

Dalam ucapannya selama kira-kira sejam setengah itu, Tengku Razaleigh juga menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya, telah gagal selepas 20 tahun dilaksanakan.

Beliau berkata, dua sebab utama menyumbang kepada kegagalan tersebut ialah tindakan melaga DEB dengan model pasaran bebas sebelum DEB membuktikan hasil dan kebaikannya.

Sebab kedua pula, katanya, ialah dasar itu tidak dilaksanakan dengan betul, cekap dan bersih dan amanah.

"Orang Melayu terlepas banyak peluang untuk menyamakan taraf ekonomi dan sosial mereka dengan kaum-kaum lain di negara ini dan kesannya masih terasa hingga hari ini, malah semakin serius," katanya.

Turut hadir ialah bekas ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Arshad Ayub. Salim.