Pejuang menganggap kenyataan Peguam Negara Idrus Harun mengenai tindakan menarik balik kes membabitkan Pulau Batu Puteh dan dua kawasan lain oleh Malaysia sebagai “membingungkan”.

Ketua Penerangan parti itu, Muhammad Rafique Rashid Ali mengulas kenyataan Idrus hari ini bahawa tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) sebagai “tidak teratur dan tidak wajar”.

“Agak membingungkan bahawa pada satu segi, kerajaan sekarang berpendapat bahawa penarikan balik kedua-dua permohonan itu adalah tidak wajar, tetapi dalam nada yang sama, menyatakan ia menghormati keputusan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa).

“Menghormati ICJ adalah asas utama kepada keputusan kerajaan terdahulu (diketuai oleh perdana menteri ketika itu, dan kini adalah bekas bekas pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad) pada 2018,” kata Rafique kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan hari ini, Idrus berkata walaupun kerajaan sekarang menghormati keputusan ICJ berhubung kes-kes berkenaan, Jabatan Peguam Negara juga sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas, termasuk isu-isu berkaitan tort misfeasans dalam pejabat awam, dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk melaksanakan keputusan yang dibuat.

Rafique mengingatkan bahawa Mahathir pada awal-awal lagi dengan tegas mendakwa bahawa ketua Pasukan Petugas Khas, yang juga bekas peguam negara, Apandi Ali, "berat sebelah dan berada dalam kedudukan konflik kepentingan yang jelas".

Peguam itu mendakwa Apandi mengesyorkan semakan semula keputusan ICJ.

Rafique menegaskan Mahathir sentiasa membantu dalam mana-mana siasatan selagi isu konflik kepentingan, berat sebelah dan/atau pelanggaran keadilan diselesaikan.

“Pastinya kerajaan ini, yang percaya kepada keadilan dan reformasi, ingin melihat semula isu berat sebelah dan konflik kepentingan Pasukan Petugas Khas itu. Ia adalah kunci dalam keseluruhan episod ini untuk mengetahui kebenaran perkara itu,” katanya.

Rafique mendakwa keputusan untuk menghentikan dua permohonan semakan itu dibuat selepas pertimbangan menyeluruh terhadap nasihat dan pendapat peguam asing, Brendan Plant, dan dua peguam tempatan.

Beliau mendakwa peguam tersebut adalah orang yang sama dilantik oleh Apandi dalam pasukannya pada 2016, dan nasihat undang-undang juga telah diambil daripada Peguam Cara Negara ketika itu tanpa kehadiran peguam negara pada masa itu (berikutan tempoh yang singkat selepas Pilihan Raya Umum pada Mei 2014).

“Semua pendapat dan pandangan ini mendorong Mahathir untuk menghentikan kedua-dua permohonan itu. Perkara yang sama disokong secara kolektif oleh kabinet Pakatan Harapan ketika itu.

“Agak membingungkan bahawa kisah Pulau Batu Puteh masih diteruskan tanpa henti walaupun terdapat pelbagai penjelasan, bukti dan justifikasi yang telah berulang kali dibuat,” kata Rafique.

Pada 3 Feb 2017, kerajaan memfailkan permohonan untuk semakan keputusan ICJ pada 23 Mei 2008, yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Batu Puteh, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah.

Bagaimanapun, kerajaan PH ketika itu diketuai Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan pada 2018, sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan pada 11 Jun tahun itu di ICJ.

Oktober lalu, Pasukan Petugas Khas berkata Mahathir mungkin cuai apabila gagal memfailkan rayuan berhubung kes itu.

Pada 14 Dis lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta peguam negara menjelaskan perkara itu, dan berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan yang lebih "bermakna" dengan Singapura.