Paling Popular
Terkini

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Noh Omar hari ini mendakwa dia dipecat daripada Umno.

Bercakap kepada media di luar ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Noh berkata, pada asalnya dia digantung keahliannya selama enam tahun.

Bagaimanapun, kata Noh, dia memberitahu MKT jika digantung selama enam tahun adalah lebih baik parti itu memecat saja keanggotaannya.

“Buat apa (parti) gantung saya? Sebaliknya saya minta presiden (Ahmad Zahid Hamidi) pecat saja saya.

“Presiden bersetuju dengan permintaan saya dan kata saya telah dipecat dengan serta-merta,” katanya.

Kata Noh, dia meminta MKT untuk memecatnya setelah kecewa dengan keputusan awal parti untuk menggantungnya selama enam tahun, sebelum dijadual menghadap jawatankuasa disiplin pada Isnin.

"Hari ini adalah hari bersejarah kerana saya menamatkan hubungan dengan parti berasaskan Melayu ini selepas 46 tahun.

"Apa gunanya bersama parti yang telah tersasar daripada perjuangan asalnya," katanya.

Senarai panjang dipecat, gantung

Sementara itu, Noh mengesahkan bahawa semasa mesyuarat majlis tertinggi itu, nama beberapa lagi "pemimpin berprofil tinggi" berada dalam senarai digantung serta dipecat.

“Senarai panjang nama dibacakan termasuk beberapa nama lain selain nama saya.

"Tunggu sahaja nama diumumkan kemudian," kata Noh.

Noh juga beredar dari ibu pejabat Umno selepas berrcakap dengan pemberita.

Ketika laporan ini ditulis MKT Umno masih bermesyuarat.

Pertemuan hari ini menarik perhatian banyak pihak dengan status bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin banyak disebut orang.

Noh sendiri minta dipecat - Isham

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Malaysia, Isham Jalil menjelaskan keputusan itu dibuat selepas Noh sendiri meminta dia dipecat.

Kata Isham, Noh memaklumkan perkara tersebut semasa menghadiri mesyuarat MKT Umno malam ini.

Terdahulu katanya, lembaga disiplin parti meneliti dan membuat keputusan untuk menggantung keahlian Noh atas sebab melanggar disiplin semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Naib presiden Umno, Khaled Nordin juga berkata, keputusan malam ini dibuat berdasarkan saranan Lembaga Disiplin.

"Parti akan keluarkan kenyataan mengenai keputusan-keputusan yang telah dibuat. Seperti yang kita sedia maklum kebelakangan parti berhadapan dengan beberapa isu disiplin. Jadi parti terpaksa buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said berkata Umno negeri itu menyokong penuh keputusan yang dibuat MT malam ini.

Noh pernah menjadi menteri dalam kabinet BN dengan kali terakhir menganggotai barisan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022.

Jawatan terakhir Noh ialah menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Bagaimanapun pada PRU ke-15 lalu Noh digugurkan daripada mempertahankan kerusi Tanjung Karang. Dia merupakan ahli parlimen bagi kawasan itu sejak 1995.

Lihat Komen
ADS