Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gopal Sri Ram meninggal dunia
Diterbitkan:  Jan 29, 2023 12:48 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Peguam veteran Gopal Sri Ram meninggal dunia pada 12.15 tengah hari tadi di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Timbalan pendakwa raya kanan itu berumur 79 tahun. Punca kematian masih tidak diketahui ketika laporan ini disiarkan.

Pemergiannya disahkan oleh timbalan pendakwa raya kepada Jabatan Peguam Negara kepada Malaysiakini.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dilaporkan menjalani rawatan kerana jangkitan paru-paru di Hospital Gleneagles minggu lalu.

Gopal mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung.

Mendiang juga merupakan pendakwa utama dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Dilahirkan pada 16 Ogos 1943, Gopal adalah bekas pelajar di Batu Road School dan Victoria Institution.

Mendiang pernah menjadi guru sebelum meninggalkan negara untuk meneruskan pengajian undang-undang di United Kingdom

Mendiang kemudiannya dipanggil ke English Bar oleh Lincoln’s Inn pada 1969 dan Badan Peguam Malaysia kemudiannya pada 1970.

Gopal ialah hakim Mahkamah Rayuan (COA) pertama yang dinaikkan terus daripada Badan Peguam pada tahun 1994, apabila COA pertama kali ditubuhkan.

Gopal mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2009 dan bersara daripada jawatannya pada tahun berikutnya.

Bagaimanapun, dia kembali berkhidmat sebagai peguam tidak lama kemudian.

Mendiang dikenali dengan khidmat mewakili perdana menteri Anwar Ibrahim pada 2014 dalam rayuan terakhir ke Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan liwat.

Gopal juga dikritik hebat ketika mengetuai pendakwaan Lim Guan Eng pada 1988, yang menyaksikan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dihantar ke penjara kerana menghasut.

Gopal meninggalkan seorang balu Chandra Sri Ram dan dua anak.

Lihat Komen
ADS