Seorang pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pemuda kurang siuman akibat dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan majistret Muhammad Fitri Mokhtar bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman suspek berusia 32 tahun bermula hari ini sehingga 5 Feb depan.

Terdahulu dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang lelaki kurang siuman meninggal dunia dipercayai dipukul.

Mangsa berusia 20-an dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid itu.

Susulan itu, mangsa dipukul sebelum meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Sementara itu mangsa amukan lelaki kurang siuman itu Wan Fadhilah Wan Abdullah, 57, berkata ketika kejadian dia baru menaiki motosikal untuk pulang selepas selesai memasak di kantin sebuah tahfiz berdekatan.

Bagaimana pun secara tiba-tiba katanya dia didatangi pemuda tersebut yang kemudian menendangnya sehingga jatuh daripada motosikal.

"Badan dan kepala saya kemudian disepak bertubi-tubi sebelum saya diselamatkan oleh anak-anak tahfiz yang berada di lokasi kejadian. Saya hanya terbaring lemah kerana merasa sakit.

"Pada awalnya, saya ingatkan dia adalah salah seorang pelajar tahfiz yang sedang berlatih silat kerana dia dilihat melakukan beberapa pergerakan seolah-olah seni mempertahankan diri.

"Semasa saya bersiap sedia menaiki motosikal, ada anak tahfiz yang menjerit supaya saya menjauhkan diri kerana terdapat orang kurang siuman, namun belum sempat saya beredar, saya sudah diserang," katanya ketika dihubungi.

Wan Fadhilah merupakan tukang masak di tahfiz berkenaan sejak 10 tahun lalu berkata dia mengalami sakit seluruh badan selain terdapat beberapa kesan lebam susulan kejadian itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kelantan Muhammad Zaki Harun mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya sehari sebelum kejadian pemuda yang meninggal dunia itu dilaporkan mengamuk di rumahnya di Pasir Puteh dan mencederakan neneknya.

"Susulan daripada maklumat yang diterima, pada jam lebih kurang jam 7 petang pihak polis sampai di tempat kejadian dan dapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan pegawai perubatan mengesahkan pemuda itu telah meninggal dunia.

"Hasil siasatan polis si mati berada di Masjid Pulau Melaka adalah bagi menunaikan solat. Pada jam 6.30 petang si mati mengamuk dan berada di kawasan Masjid Pulau Melaka dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan masjid yang bertugas dan si mati berjaya ditahan dengan bantuan dari pelajar-pelajar maahad tok guru," katanya dalam kenyataan media.