Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Sudah ada Rafizi dan Hassan Marican, kenapa perlu Nurul Izzah lagi?

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa perdana menteri untuk membuat pertimbangan sewajarnya dalam melantik Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan perdana menteri bagi sektor ekonomi dan kewangan. 

Pertama, perdana telah mengumumkan pada bulan Disember 2022 tentang pelantikan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Mohd Hassan Marican sebagai ketua penasihat ekonomi di Kementerian Kewangan dalam usaha memulihkan ekonomi. Ditambah pula, pelantikan menteri ekonomi. Kini mahu ditambah lagi penasihat kanan ekonomi.

Kedua, isunya bukan isu ambil gaji atau tidak. Isunya adalah pelantikan yang tidak kena pada tempatnya. Nurul Izzah mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik dari Universiti Tenaga Nasional. Kemudiannya melanjutkan pelajaran di Johns Hopkins Universiti dalam bidang Hubungan Antarabangsa (Asia Tenggara). Situasi yang amat membingungkan jika pendapat menyatakan bahawa beliau mempunyai kelulusan untuk menjadi Penasihat Kanan Ekonomi kerana kedua-dua kelulusan tersebut adalah tidak berkaitan. 

Ketiga, fokus utama perdana menteri sepatutnya untuk membentuk pasukan ekonomi yang berkaliber tanpa unsur politik demi memulihkan ekonomi negara. Lantikan politik sebegini amat bertentangan dengan semangat telus dan bersih yang dilaungkan sewaktu berkempen. Rakyat semestinya tidak akan marah kiranya penasihat kanan ekonomi adalah seorang yang berkelayakan seperti Hassan Marican.  


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan itu tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS