Pembangkang menolak penjelasan perdana menteri yang mempertahankan lantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanannya untuk hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin juga menolak penjelasan Anwar Ibrahim bahawa lantikan anaknya itu tidak melibatkan sebarang bayaran.

“Pro bono (tiada bayaran) bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme,” kata pemimpin kanan Bersatu itu.

Anwar kelmarin mempertahankan kelayakan anak sulungnya itu untuk menjadi penasihat tidak bergaji dalam soal ekonomi dan kewangan.

Nurul Izzah Anwar

Anwar berkata, selain memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan, Nurul Izzah juga memiliki ijazah sarjana dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

Anwar yang turut memegang portfolio kewangan berkata dia juga tiada kelayakan formal dalam bidang itu, begitu juga dengan ramai pemimpin yang pernah memegang jawatan menteri.

Anwar merupakan pelajar jurusan Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.

Dalam kenyataan hari ini, Hamzah juga berkata lantikan itu tidak diperlukan.

Ini memandangkan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Mohd Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai  ketua penasihat ekonomi di Kementerian Kewangan.

“Amalan nepotisme oleh Anwar Ibrahim, yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

“Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah, serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

Pembangkan justeru menggesa kerajaan menarik balik lantikan itu.

“Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.