Hisham dah terima surat hukuman tapi alasan penggantungan 'tiada'
Akhirnya surat yang menyatakan secara rasmi penggantungan daripada Umno tiba ke tangan bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein, hari ini.
Kata Hishammuddin surat yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan itu bertarikh semalam.
Bagaimanapun menurut bekas menteri kanan dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob berkenaan, surat tersebut tidak menyatakan sebab dia dikenakan tindakan penggantungan.
"Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian Umno saya.
"Tiada sebab penggantungan dinyatakan," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Hishammuddin turut memuat naik naik salinan surat berkenaan di media sosial.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik itu, Ahmad memberitahu Hishammuddin penggantungannya dibuat kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.
Fasal itu menyatakan seseorang ahli Umno dikehendaki mencintai parti dengan mematuhi tujuh peruntukan.
Antaranya mengikut perintah-perintah parti, menjaga rahsia-rahsia parti dan senantiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.
Penggantungan keahlian Hishammuddin akan berlangsung selama enam tahun mulai 27 Jan lalu.
Ia bermakna Hishammuddin akan terkecuali daripada sebarang pembabitan dalam pemilihan parti selama dua penggal.
Pada 27 Jan lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut membuat keputusan memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dan bekas menteri, Noh Omar.

Selain menganggotai MKT Umno, Noh juga pernah menjadi menteri beberapa kali, selain dilantik sebagai pengerusi Umno Selangor.
Selain Hishammuddin, beberapa lagi pimpinan Umno turut digantung termasuk naib ketua Pemuda Umno dan bekas ketua penerangan parti itu, Shahril Hamdan Suffian.
Ahmad berkata mereka dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin parti sewaktu pilihan raya umum lalu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/30a432812f5317cf0437a90f6c1f9069.jpg)
