Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Wanita provokasi polis, tiada masalah isu pakaian di balai’
Diterbitkan:  Jan 31, 2023 4:45 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Polis hari ini memaklumkan bahawa setakat ini tidak ada sebarang masalah yang timbul mengenai isu pakaian di sebalik anggaran 300 orang yang yang berurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata insiden yang berlaku pagi semalam tercetus apabila seorang wanita yang ingin membuat laporan kemalangan telah memprovokasi anggota polis. Ini kerana dia tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.

"Anggota pengawal bertugas memaklumkan supaya wanita itu meletakkan kenderaannya di belakang IPD Kajang disebabkan tempat letak kereta tidak mencukupi.

“Selain itu, anggota sentri juga mendapati wanita itu memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) lalu menasihatinya memakai pakaian bersesuaian jika mahu berurusan di IPD.

“Wanita tersebut tidak berpuas hati dan enggan mengikuti arahan pada awalnya dan telah memprovokasi anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, anggota polis sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan memintanya menukar seluar yang lebih bersesuaian jika ingin berurusan di balai polis.

Dia berkata wanita itu kemudiannya meninggalkan balai berkenaan dan datang semula kira-kira 15 hingga 20 minit bersama dua rakannya, dengan memakai seluar panjang.

Namun, berita itu kemudiannya ditularkan bersama gambar wanita tersebut yang sudah berseluar bersesuaian oleh sebuah portal berita.

Portal itu juga memetik wanita berkenaan sebagai mendakwa dia memakai seluar Bermuda yang menutup lutut dan melampirkan gambar seluar yang dikatakan dilarang itu.

"Pemakaian seluar panjang oleh wanita itu dalam gambar yang tular di portal berita berkenaan adalah selepas dia menukar seluar (lain) sebaik dinasihatkan oleh anggota bertugas.

"Untuk makluman, IPD Kajang berurusan dengan anggaran 300 orang sehari dan setakat ini, tiada apa-apa isu yang timbul mengenai pakaian.

"Malah, gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada pos kawalan sebagai rujukan," kata Mohd Zaid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS