Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memaklumkan pihaknya sudah menemui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno untuk tidak mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Ahmad berkata pertemuan tersebut diadakan sekitar jam 11.30 padi tadi.

“Rombongan saya seramai empat orang pegawai dari pejabat membawa dokumen yang disediakan peguam dan berikan penjelasan serta menjawab soalan-soalan dari kumpulan dan ketua pengarah ROS, timbalannya dan juga empat pegawai yang lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 bersama Timbalan Menteri Kewangan di Shah Alam, hari ini.

Ahmad berkata demikian mengulas pertemuan Umno dengan ROS mengenai usul dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Ketua Pengarah ROS, Nawardi Saad sebelum ini dilapor berkata jabatan itu kini sedang menyiasat aduan yang dibuat oleh dua ahli Umno yang mendakwa usul itu melanggar perlembagaan Umno.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata dalam pertemuan itu pihaknya telah menjelaskan bagaimana prosedur untuk mencadangkan dan membentangkan usul kontroversi itu dijalankan mengikut perlembagaan Umno.

“Empat orang kami berdepan enam orang pegawai ROS, jadi segala perkara yang saya nyatakan bahawa tidak ada sebarang pelanggaran peraturan mesyuarat atau perlembagaan Persekutuan Umno ketika selesai PAU yang majoriti lebih 90 peratus perwakilan hadir setuju pada usul nombor 8 iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden tak ditandingkan pada pemilihan kali ini,” katanya.

Menurut Ahmad lagi, pihaknya akan mengemukakan dokumen tambahan kepada ROS Khamis ini.

“Antaranya ialah minit mesyuarat PAU secara details dan satu lagi pindaan perlembagaan Umno yang dibuat,” katanya.

Tambah Ahmad, pertemuan dengan ROS hari ini juga berlangsung dalam keadaan baik.

Bagaimanapun Ahmad berkata, ROS belum memberikan sebarang jawapan berhubung pertemuan terbabit.

“Saya mohon diberikan jawapan dengan pantas. Sesegera yang diupayakan ROS kerana ada tiga tarikh penting yang akan dihadapi Umno.

“Pertama bermula esok hingga 26 Febuari akan ada pemilihan di empat peringkat iaitu cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Kedua, pada 11 Mac, ada tiga mesyuarat dan pemilihan jawatankuasa sayap parti dan seterusnya pada 18 Mac ini pemilihan untuk ahli jawatankuasa bahagian dan MKT Umno.

“Jadi, saya dah maklumkan perkara itu pada ROS,” tambahnya.