GST belum ada dalam perancangan kerajaan, kata Ahmad
Kerajaan berpendapat tiada sebarang sistem percukaian baru yang akan diperkenalkan kerajaan buat masa ini.
Malah, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai syor pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dibuat selepas kerajaan perpaduan dibentuk.
“Kerja kami di MOF (Kementerian Kewangan) ini ialah mencari seberapa banyak wang yang boleh dan bagi balik pada rakyat.
“Jadi, setakat ini apa pilihan lain yang kerajaan ada untuk jana dan naikkan pendapatan? Belum tahu ada cukai baru atau tak.
“Cuma yang pasti tidak ada sebarang perbincangan dalam kerajaan perpaduan mengenai GST.
“Tak ada bincang perkara itu sehingga hari ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Dialog Belanjawan 2023 bersama Timbalan Menteri Kewangan di Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, ahli parlimen Pontian itu bagaimanapun berkata pengenalan kepada sistem percukaian baru hanya akan menjadi pilihan terakhir kepada kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara.
Selagi boleh, katanya, kerajaan akan berusaha mencari jalan menaikkan pendapatan negara bukan melalui cukai.
"Saya kira itulah option utama kerajaan," katanya.
Tambah Ahmad lagi antara langkah yang difikirkan kerajaan untuk menaikkan pendapatan ialah penguatkuasaan lebih baik termasuk di kawasan sempadan negara.
Selain itu katanya langkah yang difikirkan kerajaan ialah pelaksanaan yang lebih berkesan untuk Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengelakkan "kebolosan" cukai.
“Sistem pungutan sedia ada lebih baik, cumanya perlu ditambah baik dan mungkin kaedah bagaimana LHDN pernah umum sebelum ini untuk membantu dan bukan mengejar (pembayar cukai).
“Kaedah-kaedah yang dibuat KDRM pula, mereka ingin tambah baik dari sudut kecekapan penguatkuasan.
“Contohnya, kehilangan cukai dari rokok, dari minuman keras, barangan subsidi, semua itu kalau diatur dengan baik maka boleh dapat tambahan pendapatan,” katanya.
Tambah Ahmad, perdana menteri sebelum ini pun pernah mengumumkan berhubung pelaksanaan sistem tender rundingan terus dan terbuka yang boleh mengurangkan kos kepada negara dan sekali gus menambah pendapatan.
“Tetapi jika kalau rundingan terus RM50 juta, tender terbuka RM 45juta, di situ kerajaan boleh dapat lebih RM5 juta. Itu antara contoh yang dibuat,” tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/9aa92af45fcdc231d70e4e1019c05676.jpg)
