Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada arahan, rundingan buka laluan buat Tengku Zafrul di Kota Raja

PKR Kota Raja belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan parti itu selepas kawasan tersebut dikaitkan dengan kemungkinan bakal menjadi tempat Tengku Zafrul Abdul Aziz mencuba nasib sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketuanya Gunaraj George berkata isu tersebut juga tidak dibincangkan di peringkat cabang.

"Kami memang mendengar khabar angin bahawa Tengku Zafrul berminat tanding di Kota Raja, tetapi setakat ini tidak ada sebarang keputusan.

"PKR Kota Raja hanya menunggu arahan dari pusat jika ada keputusan daripada pucuk pimpinan berhubung kerjasama dengan Umno termasuk membabitkan calon yang bakal bertanding pada PRN akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Zafrul merupakan tokoh perbankan yang terkenal sebelum dibawa menyertai kabinet sebagai menteri kewangan oleh Muhyiddin Yassin semasa pengerusi PN itu menjadi perdana menteri.

Apabila perdana menteri bertukar kepada Ismail Sabri Yaakob, dia dikekalkan dengan portfolio sama kapasiti senator, sehinggalah parlimen dibubarkan.

Walaupun awalnya dikaitkan dengan Bersatu, Tengku Zafrul akhirnya dicalonkan oleh Umno-BN untuk kerusi parlimen Kuala Selangor. Bagaimanapun dia kalah kepada bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Tiga kerusi buat PH

Apabila kerajaan baru dibentuk Tengku Zafrul sekali lagi dibawa menyertai kabinet sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Namanya kemudian dikaitkan dengan kemungkinan bertanding sebagai calon BN untuk kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pula.

Ia sekali gus mencetuskan khabar angin bahawa dia sedang mengintai kerusi menteri besar.

Terdapat dua kawasan DUN dalam kawasan parlimen Kota Raja, iaitu Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning.

Dalam PRN yang diadakan serentak dengan parlimen pada 2018, PH menyapu bersih ketiga-tiga kerusi berkenaan.

Gunaraj memenangi kerusi DUN Sentosa, Mat Suhaimi Shafiei di Sungai Kandis dan exco kerajaan negeri, V Ganabatirau, dari DAP menang di Kota Kemuning.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Apabila Mat Shuhaimi meninggal dunia, pilihan raya kecil diadakan dan dimenangi calon PH dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Gunaraj juga mengesahkan sehingga kini PKR Kota Raja tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Umno mengenai kemungkinan memberi laluan kepada Tengku Zafrul untuk bertanding di situ.

Menurut sumber Umno, nama Tengku Zafrul telah disenarai pendek untuk bertanding sama ada di Sungai Kandis atau Kota Kemuning.

Secara tradisi DUN Sungai Kandis memang ditandingi Umno manakala Kota Kemuning dibentuk selepas persempadanan semula pada 2018 dan ditandingi Gerakan mewakili BN.

Kedudukan Tengku Zafrul sebagai senator akan berakhir pada Dis 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS